Seorang pemilik kucing tidak menyangka gigitan binatang peliharaannya itu sangat merbahaya sehingga menyebabkan abangnya dikejarkan ke bilik pembedahan.
Akibat daripada kejadian tersebut, tangan abang kepada pemilik kucing baka British Short Hair (BSH) itu berlubang selepas ‘ditebuk’ doktor untuk mencuci luka gigitan.
Difahamkan sekiranya tidak dicuci, bakteria daripada air liur kucing yang melekat di luka gigitan tersebut boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada tangan abangnya.
Kejadian yang menimpa abangnya itu diceritakan sendiri oleh pemilik kucing terbabit menerusi satu hantaran tular dikongsi di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
“Tak pernah tahu gigitan kucing boleh jadi sangat berbahaya. Semalam, abang aku kena gigit dengan BSH peliharaan aku.
Mungkin kucing tak kenal atau cara abang aku mungkin tidak betul, entahlah.
“Selepas itu, kucing gigit. Agak dalam. Sampai berlubang dan kena masuk wad sebab nak buang air bisa (air liur kucing). Kasihan weh, tak pasal-pasal,” katanya yang turut berkongsi gambar tangan abangnya.
Menurut pemilik itu, abangnya terpaksa menjalani pembedahan kerana pendarahan yang tidak berhenti malah gigitan kucing berkenaan juga terkena kepada urat nadi.
Jelasnya lagi, doktor terpaksa menebuk tangan abangnya untuk mencuci luka berikutan khuatir akan berlakunya jangkitan kepada salur darah sekiranya tidak berbuat sedemikian.
Pemilik juga terpaksa mengurung kucing kesayangannya itu untuk sementara waktu walaupun binatang peliharaannya tidak pernah lagi bertindak agresif terhadapnya.
“Sebab dia nakal sangat gigit orang sampai kena masuk wad, terpaksalah kurung di dalam sangkar. Sudah tak bebas buat sementara waktu. Masalahnya dengan aku, dia molek sahaja,” jelasnya dalam ciapan itu.
Baca juga: Temui dua butir berlian, buruh raih bonus hampir setengah juta dari majikan