Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditahan polis selepas hadir ke balai untuk membuat laporan berhubung kegiatan perjudian.
Rupa-rupanya lelaki berumur 46 tahun itu bukan sahaja memiliki dua rekod lampau,
Malah namanya juga tersenarai sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak polis.
Sehubungan itu, lelaki yang dikehendaki berhubung kes ‘Love Scam’ terbabit ditahan selepas membuat satu laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memaklumkan,
suspek memiliki dua rekod iaitu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 379(A) Kanun Keseksaan.
Suspek juga terbabit dalam satu kes dikehendaki pihak polis berhubung ‘Love Scam’ di Kuantan, Pahang, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Bharu melakukan tangkapan terhadap suspek berdasarkan rekod berkenaan.
“Suspek adalah orang yang amat dikehendaki berkait kes ‘Love Scam’ di Facebook pada 2018 yang membabitkan kerugian berjumlah RM16,650.
“Justeru, tangkapan orang yang dikehendaki ini akan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuantan, Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Semoga dengan penahanan suspek, kes penipuan yang menyebabkan kerugian belasan ribu ringgit itu dapatlah diselesaikan agar mangsa menerima pembelaan sewajarnya.
Baca juga:Pempengaruh kantoi guna ‘fake follower’ untuk dapatkan produk review secara percuma!