lelaki habiskan 20 tahun dalam penjara, sertai pergerakan haram tanpa sedar

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Pengaruh rakan sebaya sebenarnya memberi pengaruh yang amat besar baik secara positif mahupun negatif.

Disebabkan itu jangan terlalu percaya rakan, tidak kiralah mereka itu tidur sebantal atau ada masa susah dan senang.

Buat bekas banduan pergerakan Al-Maunah, Mohd Ramli Mahmood, pengalaman dipenjara selama 20 tahun memberi pengajaran besar buatnya lapor Harian Metro.

Jelas lelaki berusia 70 tahun itu, dia terlalu percaya kata-kata rakannya bahawa ajaran itu hanya melibatkan ilmu perubatan dan persilatan.

Memilih untuk mengambil jalan mudah dan tanpa berfikir panjang dia menyertai pergerakan haram itu pada tahun 2000.

“Saya mula menyertai Al-Maunah ketika berusia 47 tahun bersama 29 ahli yang lain sebab pada awalnya saya ingatkan pergerakan ini untuk mempelajari ilmu perubatan dan persilatan.

“Tidak disangka rupa-rupanya gerakan ini untuk mengancam negara dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Disebabkan itu Mohd. Ramli menasihati orang ramai teurtama generasi muda untuk tidak terpengaruh dengan ajakan rakan bagi sertai pergerakan yang bertentangan ajaran Islam dan menggugat ketenteraman negara.

“Kehidupan serta hukuman yang dijalani selama 20 tahun di Penjara Kajang dan Machang banyak memberi pengajaran kepada saya supaya tidak mudah terpedaya dengan sesiapa termasuk rakan sendiri.

“Saya harap golongan muda kini tidak mudah terpengaruh dengan trend ajaran atau gerakan baharu yang ingin memusnahkan keharmonian negara,” katanya.

Mohd Ramli melahirkan rasa syukur apabila terlepas daripada menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Ini adalah setelah dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan kepadanya untuk dibebaskan pada 2020.

Baca juga: Pemain bola sepak kantoi bawa balik perempuan lain, isteri halau keluar lepas periksa rakaman