Lelaki baru sahaja dibebaskan dari penjara pada 6 Oktober lalu selepas menjalani hukuman penjara
selama enam tahun enam bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Seorang bekas banduan yang baru 14 hari dibebaskan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM6,000
selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menghalang tugas penjawat awam, dua minggu lalu.
Tertuduh, Umar Mokhtar Mohamed, 32, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Difahamkan, tertuduh baru sahaja dibebaskan dari penjara pada 6 Oktober lalu selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun enam bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu sebuah kereta dengan cara yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Abd Aziz, Melaka Raya 5, Melaka Raya 12, dan Jalan Tamby Abdullah dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4.30 petang pada 20 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga maksimum RM15,000 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.
Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas seorang penjawat awam, iaitu seorang pegawai polis, yang sedang menjalankan tugasnya pada masa dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Tahir, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Nigel Tai.
Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh didenda RM5,900 atau tambahan 125 hari penjara jika gagal membayar denda tersebut, selepas tertuduh mengaku bersalah atas 24 kesalahan trafik dari tahun 2010 hingga 2015.
Terdahulu, peguam tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang minimum kerana anak guamnya merancang untuk memulakan hidup baru dan bekerja untuk menyara ayahnya yang sudah tua.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak memutuskan bahawa tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kesalahan memandu secara berbahaya.
Tertuduh juga hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen memandu selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas tertuduh, bermula dari tarikh ditangkap iaitu 20 Oktober lalu
BACA: Doktor jelaskan sebab apa wanita bersalin tidak dibenarkan pulang walaupun baru terbuka jalan 2cm