Selagi diberikan rezeki dan peluang, sebaik-baiknya kesempatan itu digunakan bukan hanya untuk merehatkan minda, tetapi juga untuk menikmati keindahan dunia ciptaan Yang Maha Esa.
Sudah tentu, pelbagai persiapan perlu dilakukan sebelum memulakan pengembaraan, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan kronik.
Namun, kesakitan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menguburkan impian untuk melancong.
Perkongsian seorang lelaki, Alif Syazwan Sulaiman, yang bercuti ke Jepun bersama keluarganya, termasuk kakaknya,
Nur Ain Shazlylie Sulaiman, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) Tahap 5, membuktikan bahawa segala halangan dapat diatasi dengan perancangan yang teliti dan semangat yang kuat.
Menurut Alif, 27, kakaknya yang telah didiagnosis dengan penyakit ini hampir lima tahun lalu perlu menjalani hemodialisis tiga kali seminggu.
“Sebelum bercuti ke Jepun, kami juga telah melancong ke Thailand dan Makkah untuk menunaikan umrah. Kakak saya pernah menjalani dialisis di kedua-dua negara tersebut.
“Saya sebagai adik yang banyak menguruskan hal kesihatan kakak, tentu membuat kajian tentang klinik dialisis di luar negara, seperti di Thailand. Untuk umrah, pihak agensi umrah yang menguruskannya.
“Begitu juga ketika merancang ke Jepun, perkara utama yang perlu dilakukan adalah mencari klinik dialisis,” katanya kepada mStar.
Alif berkongsi, dia akhirnya berjaya menemui sebuah klinik dialisis di Tokyo selepas beberapa klinik lain tidak memenuhi kriteria yang diperlukan.
“Lokasi percutian kami adalah Tokyo dan Fuji. Saya menemui beberapa klinik dialisis, namun kebanyakan tidak menggunakan Bahasa Inggeris. Saya bimbang ia akan menyukarkan urusan kami.
“Akhirnya, saya menemui sebuah klinik yang menggunakan Bahasa Inggeris dan memang pakar dalam dialisis.
“Bagi pesakit CKD, laporan dialisis diberikan setiap bulan oleh hospital. Jadi, saya menghubungi klinik tersebut melalui emel kira-kira dua minggu sebelum ke sana.
“Prosesnya sangat mudah, hanya perlu menghantar surat rujukan doktor bersama laporan dialisis untuk membuat janji temu,” kongsinya.
Sepanjang enam hari di Jepun, kakaknya menjalani dua sesi hemodialisis di klinik di Tokyo.
“Harganya 55,000 yen (sekitar RM1,800) untuk satu sesi, dan setiap sesi memakan masa empat jam. Doktornya fasih berbahasa Inggeris, dan peralatannya agak maju dari segi teknologi.
“Selepas dialisis, pesakit biasanya akan berasa sedikit lemah. Memandangkan saya yang merancang itinerari, semua aktiviti bergantung pada rawatan dialisis kakak.
“Itinerari perlu disusun dengan teliti. Kakak masih muda, jadi biasanya dia berehat dua jam sahaja selepas dialisis, dan kemudian aktiviti diteruskan seperti biasa,” ujarnya.
“Alhamdulillah, kakak tidak menghadapi masalah dan mampu berjalan hingga 30,000 langkah setiap hari. Syukur keadaan kesihatannya baik sehingga kami kembali ke Malaysia,” tambahnya, sambil memberitahu bahawa kakaknya dijangka menjalani pembedahan transplantasi buah pinggang pada Mei tahun depan.
Alif turut berkongsi pengalamannya di Facebook, yang ternyata mendapat perhatian ramai dan menginspirasi banyak orang.
“Pada awalnya, apabila merancang untuk melancong dan bertanya pendapat di media sosial, ramai yang memberi maklum balas negatif. Mahal, berisiko, dan banyak lagi perkara yang dibangkitkan. Tapi jika tidak dicuba, kita tidak akan tahu. Apa yang paling penting adalah membuat persediaan berdasarkan kondisi kesihatan masing-masing.
“Kita harus menerima hakikat bahawa kita sedang sakit, tetapi jangan biarkan ia menjatuhkan semangat. Jalani hidup selagi diberi kesempatan. Jangan jadikan sakit sebagai alasan,” katanya menutup cerita.
BACA:Â Che Ta tunggu masa sesuai jelaskan kenapa dia gagal bayar hutang Mara yang ramai nak tahu