Aspek pemakaian merupakan salah satu elemen penting dan perlu diberi perhatian ketika bersukan.
Selain memberikan keselesaan dan lebih praktikal semasa digunakan, ia juga perlu memenuhi ciri-ciri keselamatan pada si pemakai.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini trend pakaian sukan khususnya untuk golongan wanita dilihat agak ketat sehingga menampakkan sosok tubuh badan mereka.
Menyedari perkara tersebut, seorang lelaki membuat hantaran dan menegur kelompok wanita yang berjoging menggunakan legging atau seluar ketat.
Pada masa sama, dia yang menggunakan akaun Azlan Garage RXZ turut membandingkan cara pemakaian bagi golongan lelaki yang lebih longgar dan santai.
“Kenapa orang perempuan suka pakai legging pants semasa berjoging?
“Maaf jika pertanyaan saya ini mengganggu kaum hawa semua. Saya memang nak tahu sebab orang lelaki sangat berbeza pakaiannya semasa bersukan.
“Cabaran yang terpaksa saya tempuh setiap pagi semasa menghantar anak ke sekolah adalah melihat punggung-punggung wanita,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, pemakaian tersebut bukan sahaja menyakitkan mata individu yang melihat malah menjijikkan kerana menampakkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya.
“Banyak pemandangan saya lihat adalah yang menyakitkan mata, tak indah serta menjijikkan. Really spoil my day di pagi hari.
“Hanya sekali sekala je ada pemandangan yang boleh menyebabkan serban pak ustaz luruh,” tambahnya lagi.
Mengakui teguran yang diberikan akan membuatkan dia disalah anggap oleh warga maya, Azlan menegaskan bahawa dia bukanlah seorang pervert mahupun ‘otak kuning’ sebaliknya menyuarakan ketidakselesaan sebagai pengguna jalan raya.
“Maaf saya bukan pervert, bukan otak kuning.
“Saya hanya pemandu yang terpaksa memandu dengan berhati-hati di jalan yang agak sibuk dengan para wanita dan lelaki yang sedang berjoging di tepi jalan,” luahnya.
Bukan itu sahaja, dia turut menyuarakan isu keselamatan golongan terbabit yang seolah-olah tidak mempedulikan orang sekeliling atau kenderaan dari arah belakang.
“Pemandu yang terpaksa berhati-hati. Jadi memang tak boleh nak dielakkan kadang kala ternampak punggung yang ditayang-tayang tanpa rasa malu.
“Kalau melawan arus gagahlah sikit sebab tak ternampak punggung mereka.
“Kebanyakan lelaki yang berjoging saya lihat lebih sopan dengan pakai seluar ‘tiga suku’ (paras lutut) dan jika pakai legging pun… legging dipakai di dalam seluar pendek yang tak ketat,” ajunya lagi membandingkan cara pemakaian wanita dan lelaki.
Pada masa sama, dia turut meluahkan rasa kecewa dan sedih kerana kebanyakan wanita yang berpakaian ketat adalah mereka yang berhijab.
“Saya adalah manusia biasa. Saya juga sedar saya perlu menjaga pandangan, penglihatan dan fikiran… perlu ada self control.
“Saya sedar pemakaian adalah hak individu, tapi apalah salahnya kaum wanita berikan kerjasama kepada kaum lelaki dengan pakai pakaian yang lebih sopan,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, dia turut menasihati kaum Adam supaya bertegas dalam isu pemakaian wanita mahram supaya dapat mengelakkan fitnah mahupun menjadi alat seksual.
“Untuk para lelaki yang bergelar suami, bapa dan anak. Ingatan untuk diri saya sendiri juga. Kita jagalah dan peliharalah kaum wanita kita.
“Jangan sampai seperti apa yang Dr Zakir Naik selalu katakan… jangan jadikan kaum ibu, isteri, anak-anak perempuan, kakak serta adik perempuan anda sebagai public property untuk ditonton secara seksual di khalayak ramai,” nasihatnya lagi.