Lelaki paut pada tong di lautan dah lebih 30 jam selepas dihanyutkan

Oleh GEMILANGDAILY

Lelaki paut pada tong di lautan dah lebih 30 jam selepas dihanyutkan. : Hanyut di lautan selama lebih 30 jam dengan berpaut pada sebuah tong minyak merupakan detik cemas yang dilalui oleh seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Sepanggar sejak pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, mangsa, Meris Dulin, 64 berjaya ditemukan pada pukul 1.30 petang tadi di kedudukan 5.5 batu nautika barat Tanjung Gaya setelah pencarian memasuki hari kedua.

“Mangsa dikatakan telah berpaut pada sebuah tong semasa bot dinaiki terbalik sebelum lelaki itu dihanyutkan dan hilang dari penglihatan setelah dipukul ombak.

Lelaki paut pada tong di lautan dah lebih 30 jam selepas dihanyutkan

“Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah dan sedang berpaut pada tong berwarna putih.

“Mangsa dikesan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Mangsa seterusnya diselamatkan oleh KD Sundang dan dibawa ke Jeti Pangkalan TLDM Sepanggar untuk rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera TLDM Sepanggar pukul 2.30 petang tadi,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan pada pukul 1 petang semalam selepas Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi semalam.

Katanya, mangsa difahamkan keluar memancing bersama dua rakan lain kira-kira pukul 6 pagi semalam sebelum bot mereka naiki terbalik dipukul ombak pada posisi 0.3 batu nautika barat laut Tanjung Karambunai, dekat sini.

Walau bagaimanapun, dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai berdekatan.

Menurut beliau, sejak SAR dijalankan sebanyak tujuh buah aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah digerakkan.

Pencarian turut dibantu oleh aset udara serta pesawat tanpa pemandu (UAS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PDRM.

Operasi Mencari dan Menyelamat mangsa telah ditamatkan pada jam lebih kurang 3.50 petang tadi.

Mohd. Rosli berkata, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memakai jaket keselamatan sentiasa dipakai dan alat perhubungan dibawa. Keadaan bot juga hendaklah dipastikan berada pada tahap keselamatan yang tinggi untuk digunakan,” katanya

BACA:

Teras bumi mula berputar lawan arus – Pakar penyelidik dedah sesuatu yang mengejutkan

Sekolah pun tak habis lagi, pelajar ini dah beli kereta Honda secara tunai!