Memang diakui, fasa pertunangan sering menjadi ujian terbesar bagi pasangan sebelum mendirikan rumah tangga.
Ketika semakin hampir dengan hari pernikahan, dugaan yang melanda menjadi semakin mencabar.
Namun, dalam keterujaan untuk menjadi suami, seorang lelaki berkongsi rasa tawar hati terhadap tunangnya yang dianggap terlalu kebudak-budakan.
Perasaannya kini mula beralih kepada seorang wanita lain, seorang janda yang lebih matang dan penyayang.
“Saya dah tak ada hati kat tunang sejak mengenali seorang akak janda ni.
Bukan sebab nafsu, tapi kerana kematangan dia. Dia lebih caring berbanding tunang saya, yang hanya mahu saya beri perhatian sepenuhnya kepadanya,” luahnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Walaupun lelaki itu berharap tunangnya berubah menjadi lebih matang, dia kecewa kerana tidak melihat usaha ke arah perubahan tersebut. Sebaliknya, tunangnya sering mencetuskan konflik hingga menyebabkannya hilang keyakinan untuk meneruskan hubungan.
“Selama ini, saya harap dia berubah, tapi dia masih suka cari pasal. Sekarang dia tuduh saya ada perempuan lain, walaupun betul, saya malas nak layan,” tambahnya.
Situasi semakin rumit apabila si tunang mengugut untuk memviralkan perkara itu sekiranya mengetahui identiti wanita lain yang menjadi punca. Hubungan mereka kini dilihat semakin tegang, dan lelaki itu mulai bimbang masa depan hubungan mereka.
Namun, di sebalik konflik ini, lelaki itu mengakui tunangnya banyak berjasa, termasuk memberikan sokongan moral dan bantuan kewangan ketika dia dalam kesusahan.
“Saya rasa nak putus tunang je, tapi saya kasihankan dia. Walaupun perangai dia begitu, dia selalu support saya. Entahlah, saya jadi serabut dan tak tahu nak buat keputusan,” katanya yang masih buntu.
Netizen Beri Teguran
Kisah ini mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam tindakan lelaki tersebut. Ada yang mempersoalkan kesetiaannya dan menyarankan agar dia memutuskan hubungan jika sudah hilang rasa cinta.
“Janda memang pandai ambil berat sebab dia nakkan kau. Tunang kau tu nak bermanja sebab dia perlukan perhatian kau,” komen seorang netizen.
“Putuskan tunang tu. Biarpun dia akan rasa perit, kau memang tak layak untuk dia,” tulis seorang lagi.
Sebahagian netizen juga menegaskan bahawa sifat curang yang ditunjukkan lelaki itu memberi petanda buruk jika hubungan ini diteruskan ke alam perkahwinan.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa hubungan cinta memerlukan kejujuran dan komitmen sepenuhnya, lebih-lebih lagi dalam tempoh pertunangan yang penuh cabaran.
BACA: Netizen geli hati bila Ketua Pemuda Bersatu kata ‘Musuh takut tengok Muhyiddin diapit Hamzah, Azmin’