Lengahkan sidang parlimen bakal beri masalah kepada PN.Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan kecaman yang lebih keras daripada orang ramai sekiranya terus mengabaikan hasrat Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibuka semula sebelum Ogos, kata penganalisis politik.
Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, negara berdepan dengan “krisis keabsahan”, di mana kerajaan gagal dari segi prestasi, kepercayaan demokratik dan mengekalkan sokongan.
“Cabaran kini adalah kerajaan bergerak ke arah kerajaan autoritarian (kuku besi), dan jika berterusan mengelak untuk memanggil sidang Parlimen, ia akan mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat,” katanya
Welsh berkata, negara berada dalam situasi tidak menentu, di mana keputusan kerajaan tidak dapat dibuat dengan cekap di samping perniagaan terus ditutup, jumlah kes bunuh diri yang dilaporkan meningkat dan beberapa orang yang hidup dalam kelaparan.
Tambah beliau, ia juga menunjukkan terputusnya hubungan antara elit dan realiti sebenar politik.
“Kita lihat banyak kemarahan dan kekecewaan yang diluahkan di media sosial. Walaupun semua orang sedar akan Covid-19, saya berpendapat seseorang tidak boleh menolak bahawa mungkin ada titik tolak apabila rakyat benar-benar bertindak,” kata beliau.
Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, mengabaikan titah Agong memanggil agar sidang Parlimen diadakan, yang telah dikeluarkan berkali-kali, akan memberi kesan buruk kepada PN.
“Tidak selalu berlaku Agong menekan satu agenda dengan keras, lebih-lebih lagi apabila agenda tersebut berkaitan dengan situasi politik di negara kita, kerana Agong dan Raja berada di atas politik,” katanya.
Beliau berkata, tekanan masyarakat akan menjadi “penambah” kepada tekanan Institusi Diraja, sambil menambah hanya ada sedikit ruang untuk PN menangguhkan persidangan Parlimen berikutnya sekarang.
Azmi berkata, kenyataan daripada menteri lain mengenai pembukaan semula Parlimen tidak lagi terpakai kerana Agong telah dengan jelas menyatakan hasratnya agar persidangan Parlimen berikutnya diadakan secepat mungkin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata Parlimen hanya dapat bersidang selepas Darurat berakhir pada 1 Ogos, sementara Menteri Kanan Azmin Ali berkata kerajaan merancang memanggil sesi berikutnya pada waktu yang sesuai.
“Parlimen tidak melibatkan seluruh negara, hanya memerlukan 222 Ahli Parlimen dan kakitangan tambahan untuk dilaksanakan, jadi saya fikir para menteri harus berfikir sedalam-dalamnya untuk menjelaskan mengapa Parlimen masih tidak dapat bersidang semula,” katanya.
Menurut kenyataan bersama Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim semalam, Agong mahu Parlimen bersidang semula sebelum 1 Ogos.
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan pandangan itu kepada dua speaker termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon ketika sesi menghadap pada Isnin.
Azhar dan Rais juga berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah dimaklumkan mengenai titah Agong.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/01/penangguhan-parlimen-akan-bawa-masalah-kepada-pn-kata-penganalisis/
Jika Anda Terlepas: Radang jantung : Kerajaan pertimbang semula beri Pfizer kepada remaja