Lesen Finas : Beza PH dengan PN

Lesen Finas : Beza PH dengan PN

Hari ini, jawapan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengejutkan dunia media apabila menyatakan bahawa segala bentuk penggambaran termasuk rakaman media sosial peribadi memerlukan lesen penerbitan filem/video daripada FINAS.

Ketetapan ini akan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan berekspresi melalui video rakaman peribadi. Apakah kerajaan pada hari ini telah melakukan kajian mendalam dan mendapatkan pandangan daripada rakyat terutamanya remaja yang merupakan pengguna tegar media sosial sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut?

Dalam era norma baru kini, rakaman audio visual menjadi antara komponen penting dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pengajaran dan pembelajaran, perkongsian maklumat dan lain-lain bentuk kerjasama digital. Adakah kerajaan akan turut mengambil tindakan ke atas guru-guru yang merakam video pembelajaran tanpa lesen FINAS?

Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Saifuddin Abdullah sepatutnya mengambil inisiatif untuk meminda Akta 244 yang telah berusia 37 tahun ini agar selari dengan tuntutan dan keperluan perkembangan teknologi terkini dan masyarakat semasa.

Berbeza dengan kerajaan pengkhianat PN, kerajaan PH dahulu mengiktiraf dan berusaha mengangkat hak kebebasan bersuara dan hak berekpresi bagi meraikan kepelbagaian pendapat dan ideologi.

Datuk Seri Salahuddin Ayub,
Timbalan Presiden Amanah
Ahli Parlimen Pulai