LGBT : Undang-undang sedia ada sudah mencukupi – Timb Menteri Agama

LGBT : Undang-undang sedia ada sudah mencukupi – Timb Menteri Agama

Enakmen jenayah syariah sedia ada disifatkan sudah mencukupi untuk menangani isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan umat Islam negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, menegaskan apa yang paling penting ialah aspek penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, isu yang timbul ketika ini ialah keperluan kerjasama di antara pihak berkuasa agama dengan pihak penguat kuasa dalam menguatkuasakan undang-undang terbabit.

Katanya, tindakan pelbagai pihak yang membangkitkan isu berkenaan perlu dianggap satu dorongan kepada pihak berkuasa agama mengambil tindakan sewajarnya menggunakan enakmen sedia ada.

“Enakmen sedia ada sudah mencukupi. Perilaku individu terbabit, sama ada melanggar enakmen syariah atau sebaliknya, ditentukan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah.

“Apa yang penting bagi kerajaan, kita akan memperkuatkan lagi penguatkuasaan,” katanya kepada BH.

Ditanya jika ada keperluan meminda peruntukan undang-undang syariah sedia ada dalam menangani isu berkenaan, Ahmad Marzuk berkata, sememangnya kerajaan sentiasa membuat semakan terhadap undang-undang sedia ada, termasuk cadangan membabitkan hukuman yang dipandang ringan.

Selain itu, Ahmad Marzuk berkata, semua pihak diingatkan untuk tidak melihat tindakan penguatkuasaan undang-undang syariah membabitkan kesalahan LGBT sebagai bertujuan mengetepikan unsur pendidikan dan tarbiah.

Sebaliknya, beliau berkata, hukuman bagi kesalahan syariah juga adalah sebahagian daripada unsur pendidikan dari sudut agama.

“Kita juga mahu mendidik kerana kejahilan terhadap undang-undang syariah tidak boleh dijadikan alasan terlepas daripada penguatkuasaan,” katanya.

Menyentuh pendidikan terhadap golongan LGBT, Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sememangnya sudah lama mempunyai program sedemikian, yang mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata, program itu bagaimanapun tidak begitu giat dijalankan sebelum ini.

Katanya, sejak menjawat jawatan berkenaan, beliau sendiri turun padang dan berjumpa dengan kumpulan berkenaan.

“Kita buat beberapa program dengan kumpulan ini. Mereka ada keinginan untuk berubah tetapi tidak terbimbing jadi JAKIM dan jabatan agama sudah diarahkan memberi fokus kepada program pemulihan.

“Mereka sendiri datang untuk dengar ceramah kita dan datang dalam yang kelompok ramai.

“Ada antara mereka terdiri daripada ahli profesional dan mereka terdorong untuk istiqomah dan mengubah diri mereka,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Marzuk memuat naik hantaran melalui Facebook mengenai isu LGBT yang dilihat semakin berleluasa dengan ada antara mereka yang tidak segan silu berpakaian seperti wanita.

Dalam hantaran itu, beliau turut menyatakan sudah ada beberapa negeri yang sedang membuat semakan untuk memperkukuh lagi Enakmen Jenayah Syariah pada masa akan datang.

“Insya Allah, kita akan usahakan satu demi satu, dengan segenap kemahuan politik yang kita ada,” katanya dalam hantaran itu.

Sebelum ini, JAKIM sebelum ini pernah membuat laporan polis berhubung kandungan media sosial seorang pengguna Twitter yang didakwa membuat tuduhan palsu dan tidak berasas mengenai program Mukhayyam untuk komuniti LGBT.

Ketua Pengarah JAKIM ketika itu, Datuk Paimuzi Yahya, berkata pihaknya mengecam tindakan pemilik akaun Twitter terbabit yang menyamakan program Mukhayyam dengan amalan terapi pertukaran daripada Barat, termasuk terapi menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara korektif.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, program itu bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik yang menekankan aspek kesedaran kerohanian, bimbingan fardu ain, kesedaran kesihatan, motivasi dan bimbingan kerjaya. –BH