PEGUAM PLAINTIF – SURYA PUTRA TAULAN & HAIRULALLIAS BIN SHAARI [PUTRA TAULAN & FAIQ AZIZAN]
PEGUAM DEFENDAN – MOHD FAIZI BIN CHE ABU [FAIZI & ASSOCIATES]
HAKIM MAHKAMAH SESYEN
PUAN LAILATUL ZURAIDA BINTI HARRON @ HARUN
Keputusan Lampiran 9: Permohonan Plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan-Defendan—
Secara ringkasnya, antara lain, Mahkamah mengambil maklum bahawa tuntutan Plaintif dalam tindakan ini adalah untuk pembayaran hutang oleh Defendan-Defendan bagi perkhidmatan pencetakan akhbar Harakah kepunyaan Defendan Pertama yang telah dilaksanakan oleh Plaintif.
Mahkamah mengambil maklum bahawa Defendan-Defendan telah membuat sebahagian bayaran kepada Plaintif bagi perkhidmatan pencetakan yang mana bayaran terakhir adalah pada 31.10.2017, dan meninggalkan baki hutang sebanyak RM656,233.69.
Seterusnya, terdapat surat-menyurat antara Plaintif/peguam cara Plaintif dengan Defendan-Defnedan di mana Defendan-Defendan secara jelas telah mengakui berhutang jumlah tersebut kepada Plaintif and selanjutnya telah membuat akujanji akan membayar hutang tersebut. Mahkamah berpendapat bahawa ini adalah pengakuan yang nyata oleh Defendan-Defendan berkenaan hutang mereka kepada Plaintif dan sewajarnya mengikat Defendan-Defendan.
Susulan pengakuan ini, Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan yang dibangkitkan oleh Defendan hanya merupakan penafian semata-mata dan fakta yang dibangkitkan oleh Defendan-Defendan dalam pembelaan mereka berkenaan dengan syarikat pencetakan yang lain yang tidak berkenaan dalam tuntutan ini adalah tidak relevan dan merupakan satu usaha untuk mengelirukan Mahkamah.
Berkenaan dengan had masa, Mahkamah berpendapat tuntutan oleh Plaintif tidak dihalang oleh had masa memandangkan had masa hanya mula berjalan setelah Plaintif mengeluarkan notis tuntutan kepada Defendan-Defendan dan tuntutan Plaintif diakui oleh Defendan-Defendan pada April 2019.
Berkenaan dengan Defendan Ketiga, Mahkamah berpendapat bahawa Defendan Ketiga sebagai penerbit akhbar Harakah mempunyai pengetahuan penuh berkenaan fakta dan tuntutan Plaintif dalam kes ini.
Setelah meneliti permohonan Plaintif, afidavit-afidavit, hujahan-hujahan dan autoriti-autoriti serta eksibit-eksibit yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa kes ini adalah satu kes yang jelas yang boleh diputuskan melalui permohonan interlokutori tanpa perlu menjalankan prosiding bicara.
Susulan itu, Mahkamah berpendapat bahawa Plaintif telah dapat membuktikan tuntutan mereka dan Defendan-Defendan pula gagal mengemukakan pembelaan yang bermerit atau apa-apa isu yang perlu dibicarakan. Pembelaan oleh Defendan-Defendan merupakan suatu penafian kosong semata-mata.
Sehubungan dengan itu, Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif di Lampiran 9 untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan-Defendan bagi jumlah sebanyak RM656,233.69 berserta faedah sebagaimana yang dinyatakan dalam permohonan di Lampiran 9, dan dengan kos sebanyak RM3,000 kepada Plaintiff.