Lima Ahli Parlimen dan ADUN jadi ‘pengantara’ dalam pengambilan pekerja asing, dedah MP Bukit Bendera

Lima Ahli Parlimen dan ADUN jadi ‘pengantara’ dalam pengambilan pekerja asing, dedah MP Bukit Bendera

Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa beberapa ahli politik terlibat sebagai ‘pengantara’ untuk membawa masuk pekerja asing dengan kelulusan khas.

Memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas isu itu baru-baru ini, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) menyeru mereka tampil menjelaskan penglibatan mereka.

Wong pada sidang media di Parlimen hari ini menamakan lima Ahli Parlimen dan ADUN itu, tetapi FMT tidak menamakan mereka sementara menunggu pengesahan.

“Saya meminta kelima-lima mereka memberikan penjelasan berkenaan keterlibatan mereka dalam permohonan khas untuk pekerja asing. Permohonan khas untuk pekerja asing ini bukan untuk upah pembantu rumah. Kalau itu, barangkali kita boleh pertimbangkan, tetapi ini untuk mendapatkan puluhan, ratusan pekerja asing,” katanya.

Wong berkata ‘pengantara’ dalam pengambilan pekerja asing menulis surat kepada menteri dalam negeri untuk mendapat kelulusan khas untuk kuota pekerja asing “tidak melalui saluran biasa”.

Beliau berkata sebanyak 512,315 daripada 928,825, bersamaan 55%, diluluskan, berbanding 416,510 yang diluluskan melalui sistem biasa, antara 2016 dan 2018.

Beliau menggesa mereka yang dinamakan dalam penemuan ketua audit negara tentang pengambilan pekerja asing dalam laporan itu mendedahkan ‘pengantara’ lain, mengatakan “masih banyak lagi nama yang tidak disebut” selain lima wakil rakyat itu.

Semalam, PAC mengatakan wujudnya kelemahan sistem berkaitan pengurusan pekerja asing, susulan siasatan ke atas penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2018 Siri 1.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/25/ahli-politik-antara-pengantara-dalam-pengambilan-pekerja-asing-kata-ahli-parlimen/