Logo PN bukan BN, tegas Naib presiden Bersatu

Logo PN bukan BN, tegas Naib presiden Bersatu

Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari pula tampil mencadangkan supaya logo PN digunakan untuk pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan PRU akan datang.

Ini selepas calon ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengutarakan cadangan serupa.

Abdul Rashid juga mendakwa ketetapan tersebut dibuat selepas Bersatu mengadakan pertemuan dengan Umno dan PAS baru-baru ini.

“Sebenarnya, kita baru-baru ini pun ada berjumpa dengan Umno dan PAS. Jadi, pendek kata kita dah bersetuju untuk menjadi satu entiti.

“Maksudnya, di bawah PN itu Umno dan PAS, cuma kita nak bincang piagamnya sahaja dan setahu saya Umno tidak secara rasmi keluar dari PN. Cuma yang bercakap itu presiden dia saja. Tapi tidaklah secara rasmi mereka kata nak tinggalkan PN.

“Jadi, saya rasa apa yang timbalan menteri (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) itu kata betullah, sebab kita akan gunakan PN punya logo masa PRN Sabah nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Abdul Rashid tidak menjelaskan lanjut butiran pertemuan melibatkan tiga parti utama kerajaan PN itu.

Pada 9 Ogos lalu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata bendera PN akan digunakan bagi PRN Sabah dan bendera tersebut akan berwarna biru gelap dengan tulisan “Perikatan Nasional”.

Malah, kata timbalan menteri belia dan sukan itu PAS juga akan bersama-sama dengan blok PN meskipun Umno menolak untuk menyertai gabungan itu secara rasmi.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki semalam dalam satu kenyataan mencadangkan agar logo BN digunakan sebagai lambang rasmi untuk PRN Sabah dan PRU ke-15.

Menurut Asyraf, cadangan itu telah dipanjangkan kepada parti Perikatan Nasional iaitu PAS dan Bersatu.

Kenyataan itu sehari selepas Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan bendera PN digunakan bagi PRN Sabah yang bakal diadakan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Melaka Mohd Raduan Ja’apar hari ini berkata parti itu akan dilihat “bodoh” jika setuju dengan cadangan menggunakan logo BN pada PRU ke-15.

“Hakikatnya, kenapa perlu guna logo BN? Kesan liabiliti Najib Razak sebagai bekas ‘perdana menteri kleptokrasi’ masih ada.

“Kenapa tidak mengunakan lambang yang baru yang tidak terikat dengan lambang dacing.

“Bersatu akan dilihat kurang cerdik dan bodoh jika akur dengan saranan itu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut sekiranya PN boleh menggunakan logonya disebabkan gabungan tersebut masih belum berdaftar, Abdul Rashid yang juga pengerusi Bersatu Selangor berkata pihaknya kini telah membuat permohonan tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Kita dah hantar permohonan kita kepada ROS untuk didaftarkan dan mungkin ambil sedikit masa bagi proses kelulusan itu. Tapi, saya percaya kelulusan itu kita akan dapat sebelum PRN Sabah.

“Jadi, kalau dapat sebelum PRN Sabah, kita akan gunakan logo PN,” katanya.

Sementara itu mengulas isu surat sokongan yang ditawarkan Wan Ahmad Fayhsal (gambar, atas) ketika berkempen untuk calon Ketua Pemuda Bersatu, Abdul Rashid enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata dia menyerahkannya kepada pihak berkuasa sekiranya ia salah dari undang-undang.

“Yang itu saya tak berani nak komenlah, kerana itu soal peribadi dia, soal dia. Kalau dia lakukan kesalahan itu, terpulang kepada SPRM lah (untuk ambil tindakan). Kerana itu tidak melibatkan parti.Itu sendiri punya cara untuk bantu kempen beliau,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan ahli Bersatu yang keluar parti, Adun Selat Klang itu berkata tindakan tersebut cuma melibatkan segelintir anggota dan tidak akan menjejaskan Bersatu.

“Keseluruhan keahlian kita di Malaysia adalah 427 ribu orang, jadi kalau setakat lima ribulah keluar, tak jejas apa apapun,” katanya.

Selain itu, Abdul Rashid mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi berhubung pembubaran bahagian-bahagian yang diaporkan dibubarkan itu.

“Yang saya tahu mereka hanya umum nak keluar parti dalam sidang media, yang rasminya tak ada pun, satu pun tak ada,” tambahnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/538267