Lombong REE : Belum ada kelulusan Jabatan Alam Sekitar – Tuan Ibrahim

Lombong REE : Belum ada kelulusan Jabatan Alam Sekitar – Tuan Ibrahim

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man Berkata, belum ada sebarang kelulusan diberikan terhadap Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), termasuk berkait aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Katanya,mana-mana aktiviti membabitkan alam sekitar, termasuk perlombongan perlu mendapatkan kelulusan EIA oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum sebarang kerja dimulakan.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ingin memaklumkan bahawa aktiviti perlombongan merupakan aktiviti yang diletakkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015 yang memerlukan pemaju projek atau sesiapa yang berhasrat untuk menjalankan sebarang aktiviti yang ditetapkanhendaklah mengemukakan Laporan EIA untuk pertimbangan kelulusan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) sebelum sebarang kerja di tapak dimulakan.

“Sehingga kini, JAS masih belum menerima sebarang permohonan untuk kelulusan laporan EIA,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang meminta menteri alam sekitar dan air menyatakan langkah kementerian untuk melindungi Ulu Muda, iaitu sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang daripada kesan pencemaran toksik sekiranya aktiviti melombong REE seluas 163,000 hektar di Kedah.

Tuan Ibrahim berkata, perlombongan REE adalah di bawah kawalan dan pemantauan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

“Sekiranya aktiviti perlombongan ini diteruskan, KASA akan memastikan laporan EIA yang dikemukakan akan dipertimbangkan secara profesional dan teliti bagi memastikan kelestarian alam sekitar terjamin.

“Kementerian memandang serius akan impak yang ketara kepada alam sekitar dan menyarankan supaya kawasan sensitif alam sekitar ini dilindungi dan dipelihara sepenuhnya bagi menjamin kesinambungan ekosistem bagi bekalan air yang selamat, selain pengairan bagi jaminan sumber makanan, perlindungan ekosistem, flora dan fauna,” katanya

Tuan Ibrahim berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi jaminan kawasan tadahan air tidak akan diterokai dan mana-mana kawasan pembalakan yang diluluskan sebelum ini melibatkan kawasan tadahan air juga akan diganti dengan tempat lain.

Sebelum ini Sanusi berkata kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM62 billion daripada keseluruhan RM43 trillion hasil bumi itu di negara ini.

Mineral jenis REE dan tidak beradioaktif didapati di bawah permukaaan bumi di Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/10/belum-ada-kelulusan-eia-lombong-nadir-bumi-di-kedah-kata-tuan-ibrahim/