Lonjakan mendadak kes Covid-19 ,rakyat Selangor tidak digalak rentas negeri

Lonjakan mendadak kes Covid-19 ,rakyat Selangor tidak digalak rentas negeri

Lonjakan mendadak kes Covid-19 baru di Selangor dijangka oleh Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Pengerusi STFC, Dr Dzulkefly Ahmad mengatakan ini disebabkan oleh peningkatan ujian saringan yang disasarkan di kalangan pekerja asing, usaha yang sebelum ini memang digesa STFC.

Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan menjelaskan bahawa ada di dalam kumpulan sasaran yang sudah dijangkiti Covid-19 tetapi tidak dapat dikenal pasti sehingga ujian dilakukan.

“Hanya apabila kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengubah dua polisi yang kami cadangkan, barulah kes-kes dapat dikesan dan mencanak naiknya.

“Di sini mustahak untuk kita iktiraf peranan polisi yang betul dan koheren buat menangani cabaran Gelombang Ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, KKM melaporkan bahawa Selangor merkodkan 1,428 kes Covid-19 baru dalam tempoh 24 jam.

Kluster Seruling saja menyumbang 843 kes, kebanyakannya dikesan di Kapar dan Klang, dan tersebar ke lima mukim lain.

Kluster ini dipercayai mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya satu kilang di sekitar Jalan Seruling di Taman Klang Jaya, berdekatan dengan Taman Bukit Tinggi.

Dzulkefly mengatakan bahawa 90 peratus kes baru yang dilaporkan semalam melibatkan tempat kerja, dengan menyebut Kluster Teratai, Seruling, Perigi, Bah Manggis, Usaha dan Sri Jujur sebagai contoh.

“Inilah punca utama kes mencanak naik di negeri Selangor. Selebihnya adalah kes-kes dari punca tak ada kaitan dengan kes kluster atau ‘unlinked cases’ yang berlaku secara ‘sporadik-spontan’ dalam komuniti,” katanya.

Namun, dia memperingatkan bahawa ada kemungkinan kluster tempat kerja seperti itu merebak ke komuniti.

Sehubungan dengan itu, dia meminta penduduk di Selangor untuk menyedari hakikat bahawa Selangor adalah “zon merah” dan oleh itu penduduk di negeri ini perlu mengekang kehendak untuk membuat perjalanan merentas negeri.

“Maka amat mustahak untuk warga Selangor supaya mengekang kehendak untuk pulang ke kampung dan merentas daerah dan negeri kerana kita akan bawa pulang virus ini ke kampung kepada emak, ayah dan sanak saudara yang kita kasihi, meskipun kita mungkin tidak bergejala atau ‘asymptomatik’, andainya kita sudah terdedah kepada virus ini kerana berada dalam zon merah,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554818