luahan hati penduduk di Simpang Renggam Covid-19

luahan hati penduduk di Simpang Renggam Covid-19

Umum mengetahui Simpang Renggam, Johor merupakan kawasan yang paling teruk terjejas dengan wabak Covid-19 yang melanda negara dengan arahan di pihak kerajaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap Kampung Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid.

Menurut maklumat yang diperolehi dari Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Ahmad Maulana Stat, 63, berkata, keadaan panik sememangnya berlaku di kawasan tersebut apatah lagi penerangan serta kefahaman masyarakat di kawasan tersebut yang tidak tepat.

Katanya, selepas PKPD dilancarkan oleh pihak kerajaan di dua kawasan tersebut, masyarakat di sekitar Simpang Renggam mulai mencari sumber maklumat yang sahih berkenaan keadaan yang berlaku.

“Kami menjadi risau dan bimbang kerana bukan disebabkan dua kawasan yang dikenakan PKPD tetapi ia membabitkan individu yang ada hubung kait dengan penduduk di situ.

“Sumber maklumat menjadi perkara utama ketika ini namun apa yang menduka citakan pemimpin tempatan yang mempunyai suara yang berpengaruh seperti Adun tidak memberikan respon yang baik atas apa yang berlaku.

“Masyarakat atau rakyat di sini semakin tertanya-tanya dengan apa yang berlaku. Hanya yang memberikan respon adalah pemimpin-pemimpin masyarakat yang mana mereka sendiri pun masih tidak mendapatkan maklumat yang tepat,” ujarnya.

Selain itu dalam keadaan yang sedang berlaku di Simpang Renggam, Maulana juga menyatakan bantuan permakanan dan kelengkapan keselamatan Covid 19 masih lagi tidak dibuat dengan cara yang menyeluruh.

Beliau menyatakan bahawa alat kelengkapan keselamatan hari ini menjadi keutamaan kepada penduduk di seluruh Simpang Renggam.

“Dalam maklumat yang diperolehi sebanyak hampir 95 peratus kedai di sini tidak lagi beroperasi dan ia lebih memeritkan apabila masih ramai di kalangan penduduk di sini (Simpang Renggam) yang belum mendapat sumbangan.

“Kerajaan telah mengumumkan untuk mendapatkan data dari Ketua Kampung, serasanya ini sudah mula tidak efektif di mana ia membuatkan proses sumbang menjadi lambat kerana data yang diperolehi oleh Ketua Kampung terhad akibat dari PKP.

“Selain itu sokongan dari pelbagai agensi yang mempunyai data berkenaan penduduk Simpang Renggam yang terjejas perlu juga diusahakan untuk dikumpulkan segera.

“Antara cara lain adalah dengan pergi rumah ke rumah melalui agensi atau jabatan yang terbabit untuk melihat kelayakan serta memberi penerangan kepada penduduk di kawasan Simpang Renggam,” ujarnya lagi.

Sumber : https://malaysiadateline.com/luahan-hati-orang-simpang-renggam/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook