Mahathir, Siti Hasmah antara hadir ziarahi jenazah bonda Najib

Mahathir, Siti Hasmah antara hadir ziarahi jenazah bonda Najib

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Ahli Parlimen Langkawi itu tiba di perkarangan Masjid Ar-Rahah, Kerinchi kira-kira 9.03 pagi tadi menaiki kenderaan berwarna hitam.

Beliau meluangkan masa kira-kira 45 minit sebelum meninggalkan masjid pada pukul 9.50 pagi.

Mengikut catatan pembantu beliau Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin, Dr Mahathir seorang yang rapat dengan keluarga Tun Abdul Razak dan Tun Rahah sendiri.

“Tun Mahathir akui sendiri, kerana Tun Razaklah dia jadi apa yang dia ada sekarang. Sebab itu, dia berusaha untuk balas jasa arwah Tun Razak dengan menaikkan Najib (Datuk Seri Najib Razak).

“Malah, ketika Tun Razak sakit pun, orang yang terawal yang diberitahu ialah Tun Mahathir. Masakan Tun Mahathir tidak rapat dengan isterinya, Allahyarham Tun Rahah,” kata Adam Mukhriz lagi.

Melalui beberapa gambar yang dikongsikannya, Adam Mukhriz berkata, Dr Mahathir dilihat tertunduk menahan sebak.

Mengikut atur cara Istiadat Pengebumian Negara, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Negara selepas selesai Penghormatan Terakhir untuk dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan.

Berapa orang awam yang ditemui di luar perkarangan masjid rata-rata berkongsikan pemerhatian yang sama, iaitu Tun Rahah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia, cekal membesarkan anak-anak selepas pemergian Tun Razak, dan sentiasa merendahkan diri.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mengenang-tun-rahah-dr-mahathir-dr-siti-hasmah-beri-penghormatan-terakhir-273834