Mahkamah diberitahu 1MDB diurus seperti ‘kedai kopi’ Jalan Petaling

Pihak pendakwaan menyifatkan perjalanan hal ehwal syarikat 1MDB tidak ubah seperti operasi sebuah ‘kedai kopi’ di Jalan Petaling (Petaling Street).

Perumpamaan itu dibuat oleh pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram ketika membantah soalan balas pihak pembelaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.

Hazem dipanggil menjadi saksi kes itu sejak 14 Sept 2020.

Terdahulu peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammad bertanyakan kepada Hazem mengenai pinjaman yang diambil oleh 1MDB berjumlah AS$975 juta pada 2014 selain menambah bahawa wang terbabit tidak digunakan bagi tujuan sebenar membeli semula 49% saham dalam Aabar Investment.

Mahkamah diberitahu 1MDB diurus seperti ‘kedai kopi’ Jalan Petaling
Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1MDB hari ini. (Gambar Bernama)

Wan Aizuddin menyoal Hazem sama ada pasukan pengurusan telah mengelirukan pengarah syarikat dan beliau menjawab tidak pasti.

Sri Ram kemudiannya berkata, “saksi itu (Hazem) bukannya sedang dibicarakan”.

Wan Aizuddin memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan mahu menunjukkan kepada mahkamah bahawa terdapat salah urus dalam 1MDB yang berpunca daripada Hazem, bekas Ketua Pegawai Kewangan syarikat, Azmi Tahir dan bekas eksekutif Geh Choh Heng.

“Kami bersetuju dengan fakta ini (salah urus). Hal ehwal pengurusan 1MDB dijalankan seperti sebuah kedai kopi Cina di Petaling Street.

“Tapi dalam kes ini(kakitangan 1MDB) bertindak mengikut arahan Jho Low dan Jho Low adalah ‘alter ego’ tertuduh (Najib),” kata Sri Ram yang merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Selain itu, Sri Ram berkata, Low adalah “cerminan imej” Najib dan mereka akan menunjukkan kepada mahkamah bahawa kedua-duanya bertindak sekali.

Bagaimanapun Wan Aizuddin berhujah bahawa salah urus dalam 1MDB adalah “angkara Low” dan Najib tidak pernah terlibat.

“Kita juga menghadapi kesukaran dengan saksi ini kerana kadangkala beliau tidak ingat,” katanya.

Sequerah berkata, kes 1MDB itu berlaku hampir 10 tahun lalu dan beliau memberitahu tertuduh untuk teruskan dengan isu laim sekiranya Hazem mengatakan beliau tidak ingat.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan pindahan wang sebanyak RM2.28 bilion ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran bersambung.

BACA JUGA : [VIDEO] Tular pemilik tutup kedai bila nampak Najib
Pertembungan 3 penjuru tak dapat dielak, ada pihak sombong, ego – Pemuda PAS