Mahkamah Tinggi Kota Bharu Benarkan Rayuan Husam, Naikkan Gantirugi ke RM150,000

Mahkamah Tinggi Kota Bharu Benarkan Rayuan Husam, Naikkan Gantirugi ke RM150,000

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan rayuan Datuk Husam Musa ke atas seorang pimpinan ulama’ Pas Kelantan, Ustaz Masri Che Yusoff untuk menaikkan gantirugi akibat fitnah daripada RM50,000 dan kos RM 10,000 kepada RM150,000 dan kos tambahan RM5000.

Saman fitnah yang difailkan bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor itu dikemukan terhadap Masri Che Yusoff susulan satu tulisan berunsur fitnah di Facebook pada 27 Oktober 2015 yang menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 hektar yang mana tuduhan ini dinafikan oleh Husam.

Semasa perbicaraan kes ini; tuduhan salahguna kuasa dan kedudukan Husam semasa menjadi exco kerajaan negeri Kelantan termasuklah pemberian tanah berkenaan kepada satu syarikat yang dikatakan Husam mempunyai kepentingan dan projek kambing jamnapari di bawah program Jihad Ternak telah ditimbulkan di dalam keterangan Masri. Bagaimanapun mahkamah telah menolak keterangan Masri dan memutuskan bahawa semua tuduhan itu adalah tidak berasas.

Che Masri merupakan ahli jawatan kuasa PAS Kawasan Ketereh dan Dewan Ulamak PAS Kelantan.

Sebagai rekod perbicaraan penuh kes tersebut berlangsung selama empat hari pada 7 dan 14 Februari 2018 dan 5 dan 15 April 2018 sebelum hujahan lisan di akhir kes dijalankan 14 Jun 2018.

Taksiran gantirugi di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebelum ini telah menetapkan gantirugi sebanyak RM50,000 yang mana Husam telah merayu dan hari ini rayuan Husam dibenarkan Mahkamah Tinggi.

Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu Husam telah diwakili peguam Faiz Fadzil dan Hisham Fauzi, manakala Masri pula diwakili peguambela, Wan Rohimi Wan Daud.