‘Main bola ke main pingpong?’ Netizen sindir kekalahan Kelantan 0-10 dengan JDT

Oleh ISMAIL YAHYA

‘Main bola ke main pingpong?’ Netizen sindir kekalahan Kelantan 0-10 dengan JDT

Kekalahan 0-10 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia

Di Stadium Sultan Ibrahim, semalam dianggap rekod terburuk dialami Kelantan.

'Main bola ke main pingpong?' Netizen sindir kekalahan Kelantan 0-10 dengan JDT

Berdasarkan semakan terbaharu sejak 2001, skuad yang menerima julukan The Red Warriors (TRW) itu tidak pernah dibelasah dengan jumlah jaringan sebesar itu.

Maka, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan juara trebel 2012 itu kini mengalami detik hitam dan ada juga yang melabel pasukan terbabit sebagai lubuk tiga mata dalam saingan Liga Super musim ini.

Kekalahan memalukan berdepan JDT itu menyebabkan skuad kendalian Alfredo Vera tewas dengan agregat 1-15, sekali gus meninggalkan saingan Piala Malaysia musim ini dengan prestasi buruk.

Kemenangan besar yang diraih Harimau Selatan itu bukan kali pertama berlaku dalam sejarah Piala Malaysia yang mana Singapura pernah merekodkan kemenangan 10-0 berdepan Negeri Sembilan ketika tahun pertama kejohanan itu dijenamakan sebagai Piala Malaysia pada 1967.

Rekod kemenangan terbesar adalah ketika Selangor mengalahkan Terengganu 18-0 pada 1963 ketika kejohanan itu dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Malah, kekalahan 10-0 kepada JDT juga menyaksikan TRW bolos 18 gol hanya dalam dua perlawanan terakhir termasuk kecundang 8-0 di tangan Terengganu dalam aksi Liga Super di gelanggang sendiri, Isnin lalu.

Bagi saingan Liga Super, skuad Kelantan musim ini sudah memecahkan rekod pasukan paling banyak bolos sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2004.

Kelantan dibolosi 76 kali dalam 20 perlawanan Liga Super 2023 dengan mereka masih mempunyai baki enam perlawanan lagi dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam Liga Super sebelum ini dipegang oleh pasukan PDRM pada tahun 2009 iaitu sebanyak 75 bolos dan ketika itu juga saingan Liga Super membabitkan 14 pasukan.

Secara keseluruhan, TRW sudah bolos 95 gol dalam semua pertandingan musim ini termasuk empat dalam saingan Piala FA, sekali gus hanya lima lagi bakal menyaksikan mereka mencecah 100 kali bolos dalam tempoh semusim.

JDT paling banyak menembusi gawang TRW musim ini apabila meledak 25 gol dalam empat pertembungan dengan pasukan dari Pantau Timur itu termasuk dua aksi Liga Super dan dua perlawanan Piala Malaysia.

BACA: Biodata Datuk Ahmad Asraf suami Intan Najwa yang ramai tak tahu