Mak ayah mula menyesal tapi sudah terlambat, 5 beradik hidap pelbagai penyakit lepas lahir, padah tak suntik vaksin

Oleh ISMAIL YAHYA

Akses dan pendedahan yang terhad menyebabkan ramai generasi terdahulu tidak menerima suntikan vaksin.

Namun, dalam dunia sekarang, tiada alasan untuk ibu bapa membiarkan anak-anak mereka membesar tanpa perlindungan kesihatan, kecuali mereka termasuk dalam golongan anti-vaksin.

Seorang wanita berkongsi kisah di Facebook mengenai lima anaknya yang tidak diberi vaksin.

Menurut wanita tersebut, walaupun anak-anaknya cemerlang dalam akademik, kesemua mereka menghadapi pelbagai masalah kesihatan sejak kecil.

“Ada yang beranggapan anak-anak saya sihat dan berjaya dalam pelajaran walaupun tidak mendapat vaksin.

Mak ayah mula menyesal tapi sudah terlambat, 5 beradik hidap pelbagai penyakit lepas lahir, padah tak suntik vaksin

Biarkan saya berkongsi pengalaman menjaga anak-anak yang tidak divaksin ini.

“Anak sulung (seorang ahli farmasi) mengalami sawan tarik pada umur setahun akibat demam panas. Hingga umur tujuh tahun, dia masih mengalami masalah berjalan. Anak kedua (bakal doktor) pula mempunyai masalah kulit yang berterusan.

“Anak ketiga pula pernah mengalami masalah telinga bernanah ketika kecil. Kini, sebelah telinganya berlubang dan dia telah menjalani pembedahan untuk menampalnya,” tulisnya.

Selain itu, anak keempat dan kelima juga mengalami masalah kesihatan, seperti masalah hernia dan pneumonia kritikal sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada usia dua bulan. Anak kelima juga menghadapi masalah asma hingga umur 10 tahun.

Wanita tersebut menambah bahawa dia hanya menyedari kepentingan vaksin apabila dua anaknya memilih bidang perubatan.

“Saya percaya Allah melindungi anak-anak saya daripada penyakit polio, hepatitis, dan lain-lain kerana orang lain tetap mengambil vaksin,” katanya.

Meskipun dua anaknya marah apabila mengetahui mereka tidak diberi vaksin, wanita itu berkata, “Saya cakap pada mereka, suntiklah sendiri, itu adalah tanggungjawab mereka.”

Kisah wanita itu menjadi tular selepas dikongsi semula oleh seorang doktor di Facebook.

Netizen turut berharap agar perkongsian ini dapat membuka mata ibu bapa, terutamanya golongan anti-vaksin, tentang pentingnya pengambilan vaksin.

“Semoga perkongsian ini membuka mata hati mereka yang ragu-ragu tentang vaksin. Alhamdulillah, akhirnya saya sedar. Yang lepas jangan dikenang, kita tidak boleh mengubah masa lalu,” kata seorang netizen.

BACA: Gempar!! Rupanya ini isi kandungan buku Hannah Yeoh jadi punca kalah saman