Aku Nur (bukan nama sebenar). Aku berumur dalam lingkungan 19 tahun.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia itu merupakan satu nikmat yang semua orang nak dan tak semua orang dapat. Dan orang itu termasuklah aku.
Ya, aku dilahirkan dibesarkan dalam keluarga yang porak-peranda. Aku jarang share masalah aku dengan orang. Aku tak suka share dengan orang.
Aku suka simpan dan pendam sorang-sorang. Tapi, sampai satu tahap aku memang sangat tak tahan. Sakitnya pendam masalah ni Tuhan saja yang tahu.
Seawal usia aku 5 tahun, aku menjadi saksi bagaimana masjid yang ibu bapa aku bina, hampir roboh. Saat itu aku masih kecil. Aku tidak mengerti apa yang berlaku. Aku membesar tanpa kasih sayang dan perhatian yang cukup daripada family aku.
Aku membesar dengan air mata. Dari kecil, tatkala aku lihat ibu dan ayah bergaduh, aku senyap. Aku selalu menyorok dalam bilik. Aku menangis.
Aku cemburu bila tengok kawan-kawan ada keluarga yang bahagia. Gurau senda dengan ibu ayah, itu perkara biasa bagi mereka. Tapi bukan aku.
Aku membesar tidak sama dengan kawan-kawan aku yang lain. Dari kecil aku lebih suka tinggal di sekolah. Tiap kali loceng tamat persekolah berbunyi, aku sedih. Kalau boleh aku taknak balik rumah sebab tidak ada yang bahagia bagi aku di rumah.
Aku di sekolah dan aku di rumah adalah watak yang berbeza. Aku lebih ceria dan gembira di sekolah namun bila aku pulang ke rumah, aku jadi seorang yang pendiam, menangis sorang-sorang.
Masa aku darjah 6, aku jumpa fon ibu. Tapi ini fon lain. Aku baca mesej masuk dalam fon ibu. Tapi itu semua bukan mesej daripada ayah. Tapi daripada lelaki lain.
Tak perlu aku huraikan apa isi kandungan mesej itu kerana ia terlalu menjijikkan. Hati aku hancur bila tahu ibu buat perangai. Beberapa tahun sebelum itu, ayah buat perangai. Lepastu stop kejap. Then ibu pula buat perangai.
Waktu itu aku tak tahu apa tindakan yang patut aku buat. Patutkan aku bagitahu ayah tentang ibu curang belakang ayah.
Tapi aku tak sanggup sebab kalau aku bagitahu, pasti aku kehilangan keluarga. Ibu ayah akan bercerai. Jadi, aku diamkan saja tentang phone ibu tu. Tahun itu jugak, aku dapat tahu rupanya ibu isteri kedua.
Ayah pernah berkahwin sebelum ini. Dan aku ada tiga abang kakak yang lain. Saat ini aku tahu ibu sedih sangat.
Ibu kata ibu diperbodohkan. Setahun selepas itu, ibu beterusan buat perangai dengan ayah. Kali ini dengan lelaki lain pula. Kali ini, ibu kantoi bermesej dengan dengan lelaki lain.
Malam tu aku dengar suara ibu nangis. Aku nampak ayah tampar ibu. Ayah tak pernah marah seteruk tu sebelum ini. Malam tu jugak ayah keluar rumah entah ke mana.
Lepas insiden malam tu, ayah bagitahu ayah nak ceraikan ibu. Tapi family mak aku nasihatkan agar bagi ibu peluang kedua. Aku lihat ibu berjanji dengan ayah ibu tak ulang lagi perbuatan dia.
Ketika aku di Tingkatan 5, ibu buat hal lagi untuk kali yang ketiga. Ibu ajak aku temankan dia pergi satu restoran katanya nak jumpa kawan lama.
Tapi ibu jumpa kekasih dia. Ibu suruh aku salam dengan lelaki tu. Aku cakap aku taknak. Aku ajak ibu balik sebab aku tak suka lelaki tu and aku tak kenal siapa pon dia. Aku memang nak nangis time tu sebab aku ingatkan ibu dah berubah. Tapi makin teruk.
Ibu dengan lelaki tu tanpa malu makan bersweet-sweet depan aku. Aku taktahu apa yang ibu fikirkan. Saat tu aku tersebut dalam hati ” Ibu gila!”. Aku nampak ibu cium tangan lelaki tu. Ibu suruh aku salam lelaki tu. Tapi aku taknak. Ibu tengking aku katanya aku tak reti hormat orang.
Ibu pesan kat aku jangan sesekali bagitahu ayah. Kalau bagitahu ayah, ayah akan ceraikan ibu. Keluarga kami hanya bergantung pada sumber kewangan ibu.
Ayah sudah pencen tidak bekerja. Gaji dan jawatan ibu agak tinggi. Ibu yang menyara kami semua. Aku tersepit. Aku tkthu apa patut aku buat. Seharian aku mnangis teruk. Aku start depression teruk daripada hari itu sampai sekarang.
Hari raya Aidiladha yang kedua, pada malam itu, aku redha kalau aku kehilangan ibu dan ayah. Kalau mereka bercerai sekalipun. Malam raya itu, aku dengar ibu dan ayah bergaduh.
Ayah cakap ibu pelacur, perempuan sundal, jalang. Semua perkataan yang tak elok ayah hamburkan dekat ibu. Malam itu juga, ayah ceritakan semua kepada aku. Siapa sebenarnya ibu. Itu kali pertama aku lihat ayah menangis. Sungguh, Ya Allah aku tak kuat pada saat itu.
Ayah nekad untuk berpisah dengan ibu. Kalau ayah tak lepaskan ibu, ayah dayus. Ibu meminta aku merayu pada ayah supaya jangan ceraikan dia. Ibu cakap ibu sayang aku dan adik. Ibu merayu memohon dikasihani sekali lagi.
Keluarga ibu datang, memohon agar tidak diceraikan ibu. Saat itu aku nampak ibu junjung Al-Quran bersumpah atas nama Allah utk tak ulang lagi. Hati aku sendiri pon tawar sebenarnya. Aku takut janji ibu taburkan tu sekadar janji. Seperti sebelum-sebelum ini, ibu berjanji, tapi ibu buat lagi.
Ayah lelaki yang cukup sabar, ayah beri lagi peluang kepada ibu. Tapi keluarga kami tak seindah dulu. Kami seakan macam orang asing di rumah sendiri.
Tidak ada kasih sayang dalam keluarga kami sejak itu. Ayah bersikap dingin dengan ibu. Sampai saat sekarang, mereka masih bersama. Tapi sudah hapus rasa kasih dan sayang ayah terhadap ibu.
Aku lihat mereka seperti orang asing. Aku pon kadang tiada mood nak pulang ke rumah setiap kali cuti semester break atau cuti apa sekalipon. Aku lebih memilih untuk bersendiri.
Aku kini melanjutkan pelajaran di sebuah IPT. Pernah sekali, adik call aku pada malam aku ada presentation. Adik kata ”ibu gaduh dengan ayah, adik takut”. Tuhan je tahu apa perasaan aku malam tu.
Aku risau ibu buat hal lagi. Bagaimana aku nak sorok wajah aku, masalah aku depan orang. Bagaimana aku nak pura-pura “nothing happen” depan kawan-kawan aku?
Sampai sekarang Dia masih beri aku sedikit kekuatan untuk aku teruskan hidup. Aku ada seorang adik yang perlu aku jaga. Aku tak boleh tewas. Aku kena kuat. Kadang aku terfikir, dimanakah keadilan buat anak-anak yang hidup dalam keluarga yang bermasalah ?
Aku selalu pesan pada adik supaya terus kuat. Kakak ada dengan adik. Cuma kakak jauh. Adik kena kuat. Aku harus kuat demi adik aku. Kalau aku lemah, bagaimana dengan adik aku ? Aku selalu pesan pada adik aku saat adik aku call, menangis, mengadu pada aku. Tapi hakikatnya aku sendiri tak kuat. Aku pernah cuba untuk suicide.
Macam-macam aku buat untuk hilangkan tekanan dan depression aku. Aku pernah terfikir nak ambil dadah. Aku pernah terfikir untuk lari rumah.
Tapi Tuhan masih beri aku peluang. Sampai sekarang aku bergantung dengan ubat depression. Aku kadang-kadang menangis sorang-sorang. Cakap sorang-sorang. Aku tertekan. Sungguh. My life sucks. Semua orang yang aku sayang, orang yang aku rapat tinggalkan aku. Tak hargai aku.
Aku cuma minta sedikit kekuatan agar aku boleh terus bertahan buat seketika. Aku penat. Jiwa aku koyak. Jikalau benarlah apa yang dikatakan ayah, ibu itu pelacur. Aku tidak membenci ibu. Seburuk mana ibu, dia tetap ibu aku. Dari itu, aku belajar untuk menerima baik buruk manusia.
Walau seburuk dan sekeji mana mereka. Kerana bagaimana aku menerima status ibu aku, itu merupakan satu pengorbanan yang besar dan penerimaan yang besar aku buat dalam hidup aku. Tidak ada orang suci yang tiada masa silam dan tidak ada orang jahat yang tiada masa depan.
Kepada yang dikurniakan keluarga yang bahagia, yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang baik-baik, hargailah ibu dan ayah korang. Kerana masih ada insan yang memerlukan dan yang tidak merasai nikmat kebahagiaan itu. Ibu ayah, kakak doakan agar kalian diberi kebahagiaan dan kesejahteraan. Agar Tuhan panjangkan jodoh kalian. Hingga ke Syurga.