Malaysia tetap sertai Ekspo Dubai 2020 walaupun disertai Israel – Timb Menteri

Malaysia tetap sertai Ekspo Dubai 2020 walaupun disertai Israel – Timb Menteri

KEWAJARAN penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai yang telah dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia

Ekspo 2020 Dubai merupakan World Expo pertama yang akan diadakan di rantau Asia Barat, Afrika dan Asia Selatan dengan jumlah penduduk menghampiri 3.2 bilion dan KDNK melebihi USD6.5 trilion. Ekspo ini bakal menjadi pintu masuk kepada pasaran baru negara-negara membangun dan perdagangan Selatan-selatan bagi keluaran negara.

Dubai merupakan hab perdagangan Antarabangsa di rantau Asia Barat. Pada tahun 2017, UAE merupakan rakan dagang Malaysia yang utama, destinasi eksport terbesar dan sumber import kedua terbesar (selepas Arab Saudi) di rantau Asia Barat. Jumlah dagangan dua hala meningkat 12.6 peratus kepada USD5.84 bilion (RM25.18) bilion daripada USD5.38 bilion (RM22.36) bilion pada tempoh yang sama pada 2016.

Advertisement

Penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan sebagai hala tuju utama, di mana potensi perdagangan dan pelaburan sebanyak RM10 bilion disasarkan. Justeru, Pavilion Malaysia menyasarkan 1 juta orang pengunjung dengan penyertaan lebih daripada 200 buah syarikat, memperolehi 1000 business leads, 5,000 orang delegasi bagi program-program promosi perdagangan dan memuktamadkan 20 Memorandum Persefahaman (MoU) di ekspo tersebut. Penyertaan ini juga merupakan salah satu platform di peringkat Antarabangsa dalam membantu memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak.

Menerusi penyertaan Malaysia, pelbagai peluang jaringan kerjasama dalam keusahawanan (start-up), sains dan teknologi, industri halal dan perbankan Islam serta perkongsian amalan pembangunan mampan dapat dipromosikan dengan meluas. Enam (6) Kluster fokus Pavilion Malaysia iaitu Kemampanan Pertanian dan Agrikomoditi, Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kebudayaan, Pelancongan, Wanita, Pendidikan dan Belia, E-Dagang, Keusahawanan dan ICT, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Minggu Kemampanan Malaysia adalah selaras dengan bidang tumpuan ekonomi, sosial dan pembangunan mapan negara. Ia juga mampu membantu memperkasakan penjenamaan imej Malaysia di persada Antarabangsa sebagai sebuah negara maju yang positif, progresif dan terbuka.

Dasar luar negara yang diamalkan oleh Malaysia berkaitan hubungan dengan Israel

Kerajaan Malaysia sejak dari dahulu konsisten dengan dasar luarnya terhadap isu penindasan Israel ke atas rakyat Palestin secara berterusan. Kerajaan sentiasa memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya baik dari segi politik, ekonomi, moral dan termasuklah juga menghulurkan pelbagai jenis bantuan.

Malaysia sejak dahulu lagi mengutuk sekeras-kerasnya pembinaan penempatan haram oleh Israel. Tindakan Parlimen Israel meluluskan pembinaan penempatan haram sememangnya menyalahi Undang-undang Antarabangsa, khususnya Resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 23 Disember 2016. Kegiatan perluasan penempatan haram oleh Israel di Tebing Barat dan Jerusalem memperlihatkan pencabulan berterusan Israel ke atas hak-hak rakyat Palestin dan penghinaan terhadap Undang-undang Antarabangsa. Aktiviti penempatan haram Israel mampu mengancam penyelesaian dua negara konflik ini.

Ingin ditekankan bahawa pendirian negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin adalah konsisten dan status hubungan Malaysia dengan Israel masih tidak berubah iaitu tiadanya hubungan diplomatik. Malaysia tidak akan berkompromi selagi penindasan ke atas rakyat Palestin masih berterusan dan tiada keikhlasan di pihak Israel untuk mencari penyelesaian saksama berhubung konflik Israel dengan Palestin.

Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel boleh dicapai hanya melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Kelantangan Malaysia dalam menyuarakan pendirian dan mempertahankan dasar negara terhadap Israel tidak sama sekali menjejaskan imej Malaysia mahupun hubungan diplomatik Malaysia dengan negara lain.

Impak terkini hubungan UAE – Israel terhadap Malaysia serta penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai

Keputusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara adalah merupakan hak mutlak sesebuah negara yang berdaulat. Umum diketahui bahawa UAE bukanlah negara yang pertama yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Malah, dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu sendiri, terdapat 29 negara anggota yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam hal sebegini, Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan tidak campur tangan dalam urusan domestik negara lain. Atas prinsip ini juga, ia tidak akan menggugat hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Ulasan Kementerian Luar Negeri berkaitan keperluan bagi Malaysia untuk menarik diri dalam penyertaan ke Ekspo 2020 Dubai

Ekspo 2020 Dubai ini merupakan satu platform pameran perdagangan global yang disertai dengan tujuan untuk memasarkan dan mempromosikan aktiviti perdagangan dan industri Malaysia di peringkat Antarabangsa. Malaysia telah berjaya mencipta nama yang amat baik di peringkat Antarabangsa melalui penyertaan di Ekspo-ekspo Dunia sebelum ini termasuk di Ekspo 2015 Milan, Itali, dan Ekspo 2017 Astana, Kazakhstan yang juga mempunyai penyertaan dari seluruh dunia termasuk Israel.

Sebarang keputusan untuk menarik diri daripada Ekspo 2020 Dubai ini dikhuatiri akan mendatangkan persepsi yang kurang baik terhadap keupayaan Malaysia dalam memenuhi komitmen yang telah diberikan dari awal lagi kepada UAE selaku tuan rumah Ekspo 2020 Dubai. Ini dikhuatiri juga memberi kesan terhadap persepsi negatif terhadap Malaysia oleh negara-negara lain yang bakal menjadi negara penganjur kepada Ekspo-ekspo Dunia pada masa hadapan seperti Argentina pada tahun 2023 dan Jepun pada tahun 2025.

Faktor lain perlu diambil kira termasuk implikasi kewangan yang tinggi seperti kos yang telah dibelanjakan untuk penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai atau sebarang penalti yang akan dikenakan oleh negara penganjur kepada Kerajaan Malaysia sekiranya Malaysia menarik diri.

Garis panduan yang telah disediakan oleh Kementerian Luar Negeri berkenaan hubungan dengan Israel, antaranya:

(i) Malaysia tidak dibenarkan untuk menghadiri sebarang acara yang dianjurkan oleh Israel di Ekspo 2020 Dubai;
(ii) Sebarang emel jemputan dari Israel perlu diabaikan;
(iii) Bagi acara gabungan yang berkolaborasi dengan Israel dengan negara lain, tujuan menghadiri acara tersebut perlu disemak semula dan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada Wisma Putra;
(iv) Malaysia tidak digalakkan mengunjungi Pavilion Israel tetapi jika perlu, ia hendaklah ditangani secara berhati-hati dan berprofil rendah. Ahli perniagaan adalah dibenarkan tetapi pegawai kerajaan dinasihatkan untuk tidak terlibat secara terus; dan
(v) Elakkan sebarang keberadaan atau gambar bersama bendera Israel.

Status Kemajuan Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai

Kerja-kerja pembinaan Pavilion Malaysia telah bermula pada Disember 2019 dan sepatutnya selesai pembinaan pada bulan Julai 2020. Namun, akibat penularan wabak COVID-19 dan penutupan sempadan, kerja pembinaan Pavilion mengalami kelewatan dan pembinaan Pavilion Malaysia telah siap 62 peratus. Semua negara peserta dikehendaki untuk menyiapkan pembinaan Pavilion negara masing-masing pada Disember 2020. (Maklumat tambahan; Kos pembinaan Pavilion Malaysia secara keseluruhan adalah sebanyak RM60 juta – Pembinaan: RM33 juta; Reka bentuk: RM3.6juta; kemasan dalaman: RM13 juta)

Penyertaan Malaysia adalah didapati penting memandangkan kesemua negara ASEAN telah menyatakan komitmen untuk menyertai Ekspo 2020 Dubai. Pada masa ini, sebanyak 190 buah negara dan pertubuhan Antarabangsa telah mengesahkan komitmen penyertaan di Ekspo Dunia tersebut.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI),
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 17/12/2020

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/17/malaysia-teruskan-penyertaan-ekspo-2020-dubai/