Mampukah Anwar membawa PH kembali ke persada kuasa?

Mampukah Anwar membawa PH kembali ke persada kuasa?

Pandemik Covid-19 memang menganggu perkembangan politik tanah air pasca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Februari 2020.

Cuba anda bayangkan, jika wabak maut itu tidak menular membungkus planet bumi ini, bagaimana agaknya reaksi rakyat terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin yang masih gagal membuktikan legitimasinya?

Mungkin siri demonstrasi aman dianjurkan di seluruh negara sebagai reaksi awal terhadap Langkah Sheraton, membantah aksi pengkhianatan. Membentuk kerajaan baharu tanpa pilihan raya dengan mengetepikan rakyat rakyat sama sekali tidak boleh diterima dan meninggalkan duluan yang jelik buat proses demokrasi.

Dengan saiz Kabinet XXL tetapi berprestasi cukup lemah, komponen parti Perikatan Nasional (PN) pula saling bertelingkah, manakala perdana menteri nampak uzur, Malaysia terpaksa menanggung bebanan berkali lipat.

Solusi terbaik tentu sahaja membubarkan Parlimen dan menyerahkan semula kepada pilihan rakyat, tetapi dengan gelombang ketiga koronavirus, ia bukan lagi opsyen yang terhidang.

Pengundi pun masih terasa penat beratur panjang di tengah panas pada 9 Mei 2018 sebelum dikhianati dengan terpaksa berpayung di bawah kerajaan bukan pilihan mereka.

Justeru, aktor-aktor politik memilih pendekatan lebih halus dan “berseni”, mengatur gerak siasah dalam keadaan serba ketidaktentuan ini. Namanya saja gencatan politik tetapi mereka sebenarnya tambah sibuk bermesyuarat secara maraton untuk mengukuhkan pengaruh.

Permainan kuasa dan tawar-menawar serta saling mengugut dalam kerajaan tebuk atap PN juga menuju destinasi sama, iaitu PRU15. Sikap politik yang berubah-ubah — daripada ancaman nenarik sokongan kepada menetapkan dukungan — terbentuk daripada perkiraan dan pertimbangan untung rugi dalam strategi meraih sokongan pengundi nanti.

Mungkin Umno mulanya lebih selesa bermuafakat bersama Pas untuk menghadapi PRU15. Keputusan rangkaian pilihan raya kecil menunjukkan kerjasama politik dua parti Melayu paling berpengalaman itu dikira sudah cukup kuat untuk merebut kembali Putrajaya.

Pengundi Melayu pula dianggap mulai melupakan jenayah besar pemimpin-pemimpin Umno dan mudah terpengaruh dengan semangat perkauman dan sentimen keagamaan sempit. Sementara langkah pembaharuan kerajaan PH seperti tidak dihargai; mungkin disebabkan impak positif buat rakyat belum terasa.

Kita sudah mengalami beberapa perubahan, misalnya PRU 1999 yang diadakan di tengah-tengah era Reformasi, yang mencetuskan gelombang politik baharu. Ramai pengkaji melihat masyarakat mulai keluar daripada politik lama yang dikepung budaya lapuk, dengan mengutamakan nilai-nilai lebih progresif dan inklusif. Bagaimanapun dalam PRU 2004, di bawah perdana menteri baharu, Abdullah Ahmad Badawi, BN kembali mendapat sokongan jitu.

Kejutan PRU 2008 menyaksikan lima negeri dikuasai gabungan pembangkang dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan. Perdana Menteri menerima asakan hebat dalam Umno sendiri sehingga terpaksa meletakkan jawatan.

Lima tahun kemudian, harapan rakyat untuk menukar kerajaan cukup tinggi. Malangnya, walaupun undi popular menyebelahi Pakatan Rakyat, BN masih kekal berkuasa, dan dua negeri iaitu Kedah dan Perak, berjaya dirampas.

Sebahagian besar pengundi Melayu terutama di luar bandar dan penempatan Felda dilihat masih ragu untuk memberi kepercayaan kepada koalisi pembangkang. Apabila negara diasak dengan skandal mega, 1MDB, ditambah penyertaan proaktif bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menentang elit penguasa, lompang kosong politik Melayu seakan terisi. Pemimpin utama pembangkang, Anwar Ibrahim, masih berada di penjara. Mahathir menyuntik harapan dan semangat baharu buat rakyat yang mendambakan perubahan rejim.

Konstituensi majoriti Melayu, khususnya kampung tradisional dan rancangan Felda tidak lagi menjadi kubu kebal Umno. Personaliti Mahathir, meskipun usianya melebihi 90 tahun, tetap menarik imaginasi pengundi. Beliau juga bijak meletakkan prioriti, terutama mengukuh dan memantapkan barisan pembangkang.

Selama ini Umno-BN berjaya dalam setiap kali pilihan raya lebih difaktorkan oleh perpecahan oposisi dan kegagalan menampilkan sosok perdana menteri menunggu. Dan Mahathir datang dengan pakej alternatif yang meyakinkan.

Ramai boleh bersetuju tentang kesukaran merawat Malaysia yang sakit selepas ditadbir regim Perikatan-BN lebih 60 tahun. Negara tidak pernah diperintah oleh mana-mana parti selain diketuai Umno. Budaya politik usang sudah mendarah-daging dan pastinya meninggalkan “daulah terpendam” yang sukar ditanggalkan.

PH berjaya meletakkan asas pembaharuan di atas landasan yang betul. Namun begitu, agak ramai tidak boleh bersabar untuk memetik kejayaan. Perang persepsi pula tidak menyebelahi kerajaan.

Pembangkang ketika itu, Umno-Pas dan sekutu mereka sedar, sekiranya PH berpeluang mentadbir sehingga berakhirnya penggal, tentu lebih banyak polisi dan program yang menguntungkan rakyat dapat dijalankan.

Umum mengetahui sikap “kedekut” Mahathir tetapi dipercayai mendekati PRU15 atau melepasi dua tahun pentadbirannya, beliau dilihat akan lebih “murah hati”.

Justeru, tanpa teragak-agak Umno-Pas tidak melepaskan peluang terbaik bagi memastikan PH tidak menjadi kerajaan semasa PRU15. Umno cukup menyedari peritnya menjadi pembangkang dan terlepas daripada takhta kuasa, apatah lagi ramai pemimpinnya sedang diheret ke depan mahkamah, manakala akaun parti pula dibeku.

Biarkan Umno, Bersatu dan Pas merencanakan strategi dan pendekatan bagi menjayakan sifir politik masing-masing. Pembangkang, khususnya PH usah terleka dengan permainan, apatah lagi umpan mereka.

Baik zaman Covid-19 atau era lebih tenteram, fokus adalah demi kuasa. Sama ada ketika gencatan politik diisytihar atau siri mesyuarat terus diatur, posisi dan pengaruh setiap parti tetap menjadi keutamaan. Soalnya, bagaimana dengan kesatuan dan penyelarasan pembangkang sekarang?

Anwar, yang mengetuai PH kini, berdepan cabaran lebih sulit berbanding Mahathir menjelang PRU14 dahulu. Partinya sendiri, PKR, berdepan perpecahan serius. Keluarnya kumpulan Azmin Ali, bekas timbalan presiden, diharap membawa era baharu PKR yang lebih utuh dan bebas daripada elemen “tikam belakang”.

Selain itu, ramai tertanya-tanya, bagaimana pula dengan langkah politik Rafizi Ramli, tokoh muda berbakat besar yang dilihat berperanan besar dalam kempen PRU14 lalu tetapi kemudiannya menyepi diri? Nurul Izzah Anwar juga seperti hilang serinya dengan memilih berada di tepi gelanggang.

Anwar turut dilihat bagai mengendalikan PH secara berseorangan. Sudahlah keanggotaannya mengecil apabila Bersatu tidak lagi dalam koalisi dan faktor Mahathir lebih menimbulkan masalah dan kontroversi dalaman.

AMANAH dan DAP juga, dalam situasi tertentu seolah-olah dipinggirkan terutama dalam usaha menubuhkan kerajaan bersama Umno. Malah ada cadangan dengan nada sindiran, agar dibentuk sahaja gabungan baharu, iaitu AMANAH, DAP, Pejuang dan Warisan, Plus PKR! Satu tamparan buat kepemimpinan Anwar.

Bebanan Anwar menguruskan cabaran baharu pasca kejatuhan kerajaan PH diakui bertambah kompleks, sekali gus menguji kewibawaannya. Partinya sendiri, PKR, perlu diperkukuh dan “dibersihkan”.

Gabungan bersama parti-parti reformasi, AMANAH dan DAP, wajar kembali nampak bersepakat. Anwar juga berdepan ujian untuk mencari persefahaman dan titik-temu dengan parti-parti pembangkang dan tokoh-tokoh di luar PN yang lain.

Jika Mahathir berjaya membentuk “grand coalition” menjelang PRU14, masakan Anwar tidak mampu?

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/cabaran-koalisi-pembangkang-di-bawah-anwar-tambah-sukar/