Mana 150,000 laptop percuma yang diumum Menteri Kewangan dalam belanjawan lepas?

Mana 150,000 laptop percuma yang diumum Menteri Kewangan dalam belanjawan lepas?

Pada 6 November 2020 yang lalu, sewaktu pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul telah mengumumkan dana RM150 juta untuk pembelian 150,000 komputer riba untuk pelajar di 500 sekolah seluruh negara.

Namun setakat hari ini, iaitu hari kedua sejak sesi persekolahan bermula dalam keadaan hampir kesemua pelajar terpaksa melakukan pembelajaran atas talian, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 nampaknya mungkin dilanjutkan berkali-kali, kita belum dengar berita status penyerahan laptop-laptop ini.

Oleh itu, saya gesa Tengku Zafrul untuk segera memberi penjelasan status 150,000 laptop ini, termasuk:
– apakah spesifikasi laptop, dan berapakah harganya
– adakah vendor laptop itu dipilih secara tender terbuka atau rundingan terus
– bagaimana 150,000 pelajar ini dipilih
– bagaimana 500 sekolah itu ditentukan
– apa tindakan jika pelajar tiada internet di rumah, atau kawasan perumahan tiada liputan internet
– jika belum lagi diserahkan, mengapa?

Ini antara contoh soalan yang boleh ditanya dan wajib dijawab oleh menteri di Parlimen Malaysia. Jika tidak menjawab, berbohong atau mengelirukan Dewan, maka menteri boleh dikenakan tindakan. Inilah kepentingan Parlimen: meneliti tindak-tanduk eksekutif.

Oleh itu, jika sekolah, kilang, kedai makan, masjid, mahkamah, IKEA, Victoria Secret dan banyak lagi boleh buka – Parlimen juga perlu dibuka. Demi semak imbang, demi demokrasi, dan demi mengangkat suara rakyat. –FB