Mana pergi Menteri Kesihatan ketika pegawainya teruk dihentam?

Mana pergi Menteri Kesihatan ketika pegawainya teruk dihentam?

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini didesak untuk membela Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KP KKM) Tan Sri Dr Noor Hisyam Abdullah berhubung dengan kenyataan dari Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing yang menuduh KP KKM itu sebagai ‘takut mati’ semalam.

Desakan itu disuarakan oleh mantan Exco Kesihatan Johor, Aminolhuda Hassan yang turut menyelar kenyataan dari Ahli Parlimen Bintulu tersebut.

Katanya ketika dihubungi, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menghina serta mengaibkan Dr Noor Hisyam yang sudah diketahui sebagai individu yang teruk berhempas pulas dalam memerangi Covid 19 di negara ini.

“Kita sedih dan hairan dengan individu seperti Ahli Parlimen Bintulu yang menghina Dr Noor Hisyam semalam di Dewan Rakyat. Tidak sepatutnya kita menghina terhadap mereka yang terlalu banyak berjasa kepada negara.

“Saya mendesak agar Menteri Kesihatan serta timbalan-timbalannya untuk mengeluarkan kenyataan berpendirian membela Dr Noor Hisyam agar tidak ada pihak lain dapat mengganggu tugas beliau.

“Sudah hampir 24 jam, sebarang kenyataan dari pihak menteri tidak berkumandang. Inilah yang menjelaskan bagaimana nasib negara kita amat malang di bawah pentadbiran menteri yang lemah,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor turut menjawab kenyataan dari Ahli Parlimen Bintulu itu dengan menyatakan individu yang harus dipersalahkan adalah Menteri Kesihatan.

“Kita maklum bahawa semenjak Covid 19 melanda negara, Menteri Kesihatan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berperanan dengan baik.

“Saya ingin menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, hakikatnya Menteri Kesihatanlah yang tidak turun padang bukan KP Dr Noor Hisyam seperti didakwanya semalam.

“Dr Noor Hisyam telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sehingga rakyat lebih menyakini beliau dari menteri terbabit. Di mana menteri serta timbalannya hari ini?

“Jelas menunjukkan bahawa Menteri Kesihatan hanya berdiam diri sehingga tidak mahu menunjukkan muka. Saya amat sedih apabila negara kita hari ini mempunyai Menteri Kesihatan yang tidak cakna langsung dengan nasib rakyat di negara ini sehingga KP Kesihatan pun di hina dalam Parlimen oleh wakil rakyat kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada mereka yang sama-sama mempertahankan Dr Noor Hisyam dalam isu yang dicetuskan semalam di Dewan Rakyat.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/menteri-kesihatan-perlu-bela-noor-hisyam/