Mana pergi “Strong, Formidable & Convincing Numbers” Anwar?

Mana pergi “Strong, Formidable & Convincing Numbers” Anwar?

Tindakan Pakatan Harapan (PH) tidak meminta undi belah bahagi terhadap Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam mengelirukan dan menghampakan banyak orang, kata bekas Penasihat Komunikasi Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A Kadir Jasin.

Wartawan veteran itu berkata, tindakan yang dilaporkan didorong oleh keputusan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menimbulkan persepsi bahawa Anwar langsung tidak mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan seperti yang didakwanya dahulu.

A Kadir berkata, sekiranya benar Pengerusi Pakatan Harapan itu mempunyai sokongan 128 Ahli Parlimen seperti mana beliau maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, PH sudah boleh mengalahkan Perikatan Nasional (PN) dalam undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan semalam.

“Oleh kerana tindakan pelik blok utama Pembangkang itu, rang undang-undang tersebut lulus di peringkat dasar (policy stage) melalui undian suara. Yang secara terbuka tidak menyokong adalah blok bebas Dr Mahathir Mohamad yang turut disokong oleh beberapa orang Ahli Parlimen Amanah.

“Manakala percubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, (Datuk) Mahfuz Omar, mencadangkan undi belah bahagi tidak mendapat sokong PH. Jelas ada arahan dari kepimpinan PH agar tidak membuat undi belah bahagi,” kata A Kadir dalam catitan terbaharu di Facebooknya, hari ini.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar apabila lebih suara Ahli Parlimen bersetuju, berbanding yang tidak bersetuju.

Namun cubaan Mahfuz untuk melakukan undi berbelah bahagi gagal apabila hanya kuorum 15 orang Ahli Parlimen yang diperlukan untuk menyokong usul itu gagal dipenuhi.

Situasi itu sekali gus menimbulkan kemarahan penyokong PH kerana mendakwa Ahli-ahli Parlimen Pembangkang tidak komited untuk membantah kelulusan rang undang-undang tersebut.

Mengulas lanjut, A Kadir berkata, kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar memberi peluang kepada PN untuk membuat persepsi ia diluluskan sepenuhnya.

“Perikatan Nasional (PN) yang kemaruk kemenangan lantas membuat diayah seolah-olah Belanjawan 2021 sudah lulus. Orang ramai yang tidak arif tentang peraturan Dewan mungkin percaya Belanjawan 2021 telah lulus dan Pembangkang belot atau mengaku kalah.

“Jawapannya, Belanjawan 2021 belum diluluskan. Ada dua atau tiga peringkat lagi sebelum pengundian mutakhir yang dijadualkan 17 Disember ini,” katanya lagi.

Selain itu, A Kadir berkata, tindakan Anwar yang mempersembahkan bukti sokongan terhadap dirinya sewaktu di Istana Negara, tetapi tidak direalisasikan dalam Dewan Rakyat, akan membawa masalah defisit kepercayaan terhadap dirinya.

“Faktor mengenai mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong ini cukup menarik. Andainya betul Anwar telah mempersembahkan bukti 128 SD menyokong beliau maka tindak balas Seri Paduka Baginda adalah penentu masa depan Ketua Pembangkang itu.

“Jadi dia wajib berhati-hati agar tidak menimbulkan kemurkaan Baginda,” kata A Kadir lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-mana-128-sokongan-ahli-parlimen-seperti-yang-anwar-dakwa-a-kadir-jasin-270504