“Masa pembangkang bakar api perkauman, sekarang laung Keluarga Malaysia.”
Khalid Samad (PH-Shah Alam) membidas sikap parti dalam kerajaan yang tidak konsisten dan mendakwa ia hanya melaungkan slogan Keluarga Malaysia ketika menjadi kerajaan.
Beliau berkata, namun ketika parti kerajaan menjadi pembangkang, mereka membakar api perkauman sesuka hati.
“Bila jadi kerajaan (laung) Keluarga Malaysia. Bila jadi pembangkang api perkauman dibakar sesuka hati,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Khalid juga menyatakan kekesalannya apabila isu kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dipolitikkan.
Katanya, ketika parti kerajaan menjadi pembangkang ia menuduh Pakatan Harapan (PH) membela orang bukan Melayu.
“Paling saya kesal ialah apabila kematian Adib dipolitikkan apabila semua agensi dah kata tiada bukti kukuh berlakunya pembunuhan, maka dituduh kerajaan PH ketika itu sebagai membela golongan bukan Melayu dan melindungi pembunuh bukan Melayu.
“Sanggup kamu peralatkan satu peristiwa tragis untuk kepentingan politik kamu. Kerana yang mati itu Melayu dan yang kononnya yang membunuhnya adalah orang India. Maka dilaungkan slogan kata ketuanan Melayu dan dominasi Melayu ketika itu.
“Mana perginya cogan kata Keluarga Malaysia (ketika itu),” soalnya.
Khalid turut memuji sikap kerajaan yang mahu mencari pembunuh Adib.
Bagaimanapun beliau mempersoalkan kenapa kerajaan tidak ambil kisah mengenai mereka yang mati dalam tahanan.
“Jumlahnya sudah melebihi puluhan yang mana sepatutnya berada dalam jagaan polis dan selamat daripada penderaan dan penganiayaan namun sebaliknya mati bawah jagaan kerajaan.
“Kamu tak kisah kerana kebanyakan mereka bukan Melayu, mungkin…kerana mereka keturunan India mungkin… kerana dianggap samseng, adakah itu yang didakwa perjuangan Islam kamu,” soalnya.