Masakan Zarina Zainuddin tak lepas dibawa masuk ke Jepun ini sebabnya

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Pelakon Zarina Zainuddin meluahkan rasa kecewa apabila niatnya untuk membawa bekal makanan yang sudah dimasak tidak dibenarkan masuk ke Jepun.

Menurut Zarina, dia merancang untuk berjimat semasa percutian kali ini.

Namun, hasratnya terbantut apabila kebanyakan bekalan yang dibawa ditahan di pintu masuk negara tersebut.

“Saya gigih masak gulai ayam kampung, rendang daging dan ayam, daging black pepper, gulai lemak daging salai, dan ayam salted egg.

Semua kena tahan selepas diisytiharkan. Saya ingatkan akan lepas sebab semua saya simpan dalam satu kotak,” ujar Zarina.

Masakan Zarina Zainuddin tak lepas dibawa masuk ke Jepun ini sebabnya

“Yang lepas hanya sotong salted egg, kuah kari, dan pulut kuning. Saya ingat nak berjimat, tapi akhirnya sedih! Semua mahal di sini, mi segera pun kena beli.”

Zarina juga menjelaskan bahawa dia memilih untuk bercuti di Sapporo, Jepun kerana sudah beberapa kali gagal menunaikan janji dengan anak-anaknya. “Tiket sudah ditempah lebih awal.

Saya janji dengan anak-anak sejak dua tahun lalu, mereka sudah perli saya sebab selalu bawa mereka bercuti ke Pangkor. Saya gigih kumpul duit main kutu untuk bawa mereka berjalan, kalau tidak, memang tak merasa.”

Dalam pada itu, Zarina turut memberitahu bahawa dia tidak membawa anaknya, Azil, pada percutian kali ini.

“Kali ini saya bercuti tanpa Azil dan abahnya. Di Jepun, undang-undang sangat ketat, tak boleh bising, tak boleh bercakap kuat.

Jadi, macam mana nak bawa Azil? Rindu pula pada Azil dan abahnya. Insya-Allah, nanti kita pergi Langkawi hujung bulan ini,” katanya.

BACA: ‘Bukan sekadar mesej, video pun ada’ Lain pula jadi bila Abang Viva dedah perangai sebenar isteri