Masalah kecil jadi masalah besar, ini punca runtuhan di Taman Melawati

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Tanah runtuh di lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati, berlaku akibat longkang yang tersumbat susulan hujan lebat semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menjelaskan bahawa limpahan air

Dari longkang yang dipenuhi batu dan tanah telah menyebabkan tanah gelongsor di lokasi kejadian.

“Longkang tersebut tersumbat oleh batu dan tanah hingga menyebabkan limpahan air.

Kita jangkakan limpahan ini bukan hanya berlaku semalam, tetapi disebabkan hujan lebat, ia menjadi lebih teruk daripada biasa.

Masalah kecil jadi masalah besar, ini punca runtuhan di Taman Melawati

“Kawasan ini, termasuk longkang dan jalan, masih di bawah kawal selia pemaju atau pemilik tanah di atas, dan kita telah mengeluarkan notis kepada pihak terbabit supaya mereka dapat mengemas kini dan menyelenggara tanah serta laluan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, lokasi kejadian telah ditutup sementara kepada orang awam kerana kawasan ini popular dengan aktiviti beriadah dan larian.

“Kita telah menutup lokasi ini buat sementara waktu sehingga laporan dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan bahawa tanah tersebut kukuh dan selamat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjangkakan semua penduduk yang mendiami tujuh daripada 20 unit kediaman di Jalan E6, Taman Melawati akan dibenarkan kembali ke rumah mereka dalam dua hingga tiga hari lagi.

“Kita jangkakan mereka akan kembali tidak lama lagi selepas keadaan di sini disahkan selamat.

“Kita sudah memasang kanvas dan akan membina tembok penghadang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” jelasnya.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diarah agar tidak memandang rendah setiap laporan yang dikemukakan oleh penduduk, terutamanya yang melibatkan kawasan berisiko tinggi.

Amirudin menegaskan bahawa setiap laporan yang diterima perlu diteliti untuk tindakan susulan agar tindakan dapat diambil dengan segera.

“Melalui laporan yang diterima, kita dapat melihat sama ada tanah tersebut milik kerajaan persekutuan atau mana-mana agensi berkaitan, dan memberi amaran awal kepada pihak terlibat.

“Kita tidak boleh memandang rendah setiap laporan, termasuk kawasan yang berisiko. Jika kawasan tersebut berisiko, tindakan perlu diambil sama ada oleh pihak kita sendiri atau mengingatkan pemiliknya.

“Dalam kes ini, pemilik pembangunan tersebut perlu diingatkan. Saya juga dimaklumkan bahawa penduduk telah membuat laporan dua atau tiga bulan lalu, dan kita harus semak sama ada laporan tersebut telah sampai atau tidak,” ujarnya.

BACA: Kerajaan Malaysia tak sedar negara miliki ‘harta karun’ bernilai RM2.94 trillion