Mawar-Yadim bantah gangguan seksual pada wanita di media sosial

Mawar-Yadim bantah gangguan seksual pada wanita di media sosial

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (Mawar-Yadim) membantah sekeras-kerasnya serangan dan keganasan terhadap wanita di media sosial yang kerap terjadi mutakhir ini.

Terkini, penulisan berbaur serangan seksual kepada YB Nurul Izzah adalah satu bentuk Keganasan Berasaskan Gender (Gender Based Violence (GBV)) yang melampau dan tidak dapat diterima oleh sesiapa jua.

Terdahulu, dua pemimpin politik wanita ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei turut menjadi sasaran gangguan seksual dengan ugutan rogol dan bunuh.

Malah banyak lagi kes-kes gangguan dan keganasan atas talian yang dialami wanita yang tidak dilaporkan. Tidak kurang yang menderita dalam senyap akibat tekanan emosi buli dan keganasan siber yang mereka alami.

Keganasan berdasarkan gender (GBV) adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling banyak berlaku di dunia. GBV didefinisikan sebagai “bentuk kekerasan apa pun yang mengakibatkan, atau mungkin mengakibatkan, bahaya fizikal, seksual atau psikologi atau penderitaan wanita, termasuk ancaman tindakan seperti itu. perampasan kebebasan sewenang-wenangnya, baik berlaku dalam kehidupan awam atau peribadi ”(PBB 1993).

Agensi Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), menganggarkan di seluruh dunia, satu dari tiga wanita akan mengalami penderaan fizikal atau seksual sepanjang hayatnya (UNFPA 2016). Data menunjukkan bahawa GBV meluas di semua lapisan masyarakat baik sosial, ekonomi dan nasional (United Nations 2016; World Health Organisation 2010).

Perkembangan terbaru ini menunjukkan trend peningkatan gangguan dan keganasan terhadap wanita di alam maya bertujuan memalukan, merendahkan maruah, mengugut dan mengancam mereka. Seolah-olah adanya satu gerakan terancang untuk menakut-nakutkan sekaligus membunuh karektor seseorang, khususnya di kalangan pemimpin. Bertambah buruk bila dikatakan akaun media sosial yang digunakan oleh penyerangnya adalah palsu. Maka mereka bebas menulis apa sahaja dan berselindung di sebalik identiti yang tidak dikenali.

Perbuatan keji ini kalau tidak dibendung akan menyebabkan bukan sahaja kemudaratan kepada seseorang wanita bahkan merencatkan penglibatan wanita amnya dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan dalam masyarakat. Ini amat merugikan negara.

Statistik terkini penglibatan wanita dalam kepimpinan politik diukur dengan penglibatan sebagai anggota Parlimen berada di tahap 14.4% jauh lagi daripada angka 30% yang disasarkan.

Gangguan dan Serangan Seksual di atas talian terhadap wanita juga merupakan tindakan melampaui batas agama, budaya dan ketatasusilaan masyarakat Malaysia.

Cukuplah apa yang di sabdakan Rasulullah saw dalam hadithnya sebagai peringatan kepada kita semua.
“Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencaci, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berbuat/ berkata-kata keji dan orang yang berkata-kata kotor” HR At Tirmizi.

Justeru kami menuntut agar
1. Pihak Kerajaan meningkatkan pelbagai usaha memerangi keganasan berdasarkan gender termasuk di platform media sosial. Siasatan segera mesti dilakukan terhadap kes-kes gangguan dan keganasan seksual ini.

2. Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual mesti diteruskan dengan pembentangannya di Parlimen disegerakan. Rang Undang-undang ini akan memastikan wanita dilindungi secara jelas dan tegas di bawah sistem kehakiman negara.

3. Pelaku gangguan dan keganasan seksual terhadap wanita ini mesti dikenalpasti dan dihadapkan ke muka pengadilan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mestilah mengambil tindakan pantas terhadap aduan yang diterima terhadap kes-kes seperti ini dan sekiranya terbukti benar maka yang bersalah perlu dikenakan tindakan yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang lain.

4. Usaha pencegahan dalam bentuk pendidikan berterusan menangani keganasan terhadap wanita perlu kita gerakan di semua peringkat dalam masyarakat.

Semoga kita dapat bersama-sama menghentikan keganasan terhadap wanita dalam usaha untuk kita membangunkan sebuah masyarakat yang kukuh dan negara maju yang makmur sejahtera disegani dunia.

Dr Hafidzah Mustakim
Pengerusi Mawar-Yadim

Disokong oleh
semua Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) berikut

1. Pertubuhan Pembangunan Wanita Che Siti Wan Kembang
2. Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Swasta Kelantan
3. Persatuan Kebajikan Prihatin Negeri Kelantan (Prihatin)
4. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
5. Raudhah Sakeenah Kelantan
6. Malaysians Against Pornography (MAP)
7. Pertubuhan Sikandi Kreatif Kelantan
8. Pertubuhan Prihatin Tanah Merah
9. Pertubuhan Cakna Rakyat Tumpat
10. Pertubuhan Pra Sekolah dan asuhan Kelantan
11. Pertubuhan Aspirasi Murni Kuala Krai
12. Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan
13. PERASKO Kelantan
14. Persatuan Asnaf Harapan Kuala Krai
15. Pertubuhan Kebajikan Insaniah Ketereh
16. Persatuan Usahanita Pasir Putih
17. Pertubuhan Suara Wanita Malaysia (Wanitra)
18. Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK)
19. Kelab Penggerak Usahawan Harapan Kelantan (Kepak)
20. HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan
21. Kelab Machang Penyayang
22. Kelab Keluarga Islah
23. Pertubuhan Wanita Prihatin Gua Musang (WATIN)
24. Pertubuhan Amal Kebajikan & Usahawan SRIWANIS Ketereh
25. Pertubuhan Peduli Rakyat Tumpat
26. Pertubuhan Peduli Komuniti Ketereh
27. Pertubuhan Pembangunan Wanita Che Siti Wan Kembang
28. Pertubuhan Cakna Marhein Negeri Kelantan (CAMAR)
29. Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Kelantan
30. Pertubuhan Kebajikan Wanita Ehsan Selangor
31. Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor.
32.Pertubuhan Masyarakat Madani
(AMANI)
33. Biro Wanita Persatuan Penduduk Kompleks Perumahan Polis Cheras KL
34. Rumah Teratai
35. Pertubuhan Kebajikan Pembangunan wanita Permata kasih Terengganu (PKPKT)
36. Pertubuhan Wanita Swadaya Perlis(PeWaDa)

Sumber: