Mayat wanita dipercayai warga Singapura hilang ketika berkayak dibawa ke hospital untuk bedah siasat

Mayat wanita dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Khamis lepas, telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata mayat itu tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada kira-kira pukul 4.45 petang tadi.

“Sejurus tiba, mayat dibawa pihak polis ke Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khamis lepas, dua warga Singapura itu iaitu lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah daripada 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat di Pahang dan Pulau Mertang di Mersing berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Rashidilhadi berkata berikutan penemuan mayat itu APMM telah menggerakkan satu aset udara bagi mencari seorang lagi mangsa di sekitar kawasan mayat wanita itu dijumpai.

“Operasi pencarian udara yang disertai seorang pegawai dan tiga anggota APMM bermula tengah hari tadi selepas kami (APMM) menerima laporan penemuan mayat itu,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata mayat lengkap berpakaian dan memakai jaket keselamatan itu ditemui terapung kira-kira 12.50 tengah hari di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, oleh nelayan tempatan.

Haris Fadzillah berkata lokasi mayat ditemui adalah 18 batu nautika daripada kayak milik dua warga Singapura itu, ditemui semalam, manakala 100 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

BERNAMA