Maybank kini memperkenalkan ciri keselamatan terbaharu yang pertama di Malaysia, dikenali sebagai Money Lock, yang boleh diakses melalui aplikasi MAE.
Ciri inovatif ini membolehkan pelanggan mengunci dana dalam akaun simpanan atau semasa mereka, melindungi wang daripada sebarang percubaan penipuan dalam talian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar, penambahan lapisan keselamatan
Ini memberi pelanggan kebebasan untuk menjalankan perbankan dalam talian dengan lebih tenang tanpa bimbang akan keselamatan kewangan mereka.
Money Lock memberikan kuasa sepenuhnya kepada pelanggan untuk mengawal tahap perlindungan dana mereka.
Pelanggan kini boleh memilih jumlah dana yang ingin dikunci, bermula serendah RM10, atau jumlah penuh yang ada dalam akaun mereka.
Bukan itu sahaja, mereka boleh menambah jumlah yang dikunci pada bila-bila masa melalui aplikasi MAE tanpa dikenakan sebarang bayaran atau had dalam bilangan transaksi Money Lock yang diaktifkan.
Syed Ahmad Taufik turut menambah bahawa pelancaran Money Lock di Malaysia adalah lanjutan daripada kejayaan ciri yang sama yang diperkenalkan di Maybank Singapura. Ini juga membuktikan komitmen Maybank dalam mempertingkatkan keselamatan dan perlindungan perbankan bagi pelanggan di seluruh Asia Tenggara.
Dengan adanya ciri ini, Maybank menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan untuk mengunci dana secara digital dalam akaun simpanan dan semasa. Pelanggan boleh menikmati keuntungan atau faedah yang sama pada dana yang dikunci, seperti baki biasa dalam akaun mereka.
Proses untuk mengaktifkan Money Lock sangat mudah. Pelanggan hanya perlu membuka aplikasi MAE, pilih tab ‘Accounts’, kemudian pilih akaun yang ingin dikunci.
Selepas itu, tekan ikon Money Lock dan tentukan jumlah dana yang ingin dikunci. Setelah mengesahkan melalui Secure2u, dana akan dikunci dan dilindungi.
Sekiranya pelanggan ingin membuka atau mengurangkan jumlah dana yang telah dikunci, mereka hanya perlu melakukan pengesahan mudah di mana-mana ATM atau cawangan Maybank seluruh negara. Ini memastikan bahawa dana tersebut sentiasa terjamin daripada akses yang tidak sah.
Dengan ciri Money Lock ini, Maybank bukan sahaja meningkatkan keselamatan transaksi perbankan dalam talian, tetapi juga memberi keyakinan penuh kepada pelanggan untuk menjalankan perbankan secara lebih selamat dan terjamin.