Menghasut : Hadi kemuka permohonan batal saman

Menghasut : Hadi kemuka permohonan batal saman

Abdul Hadi Awang mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula dua penganut Kristian dari Sabah yang dikemukakan berhubung kenyataan dikeluarkannya yang didakwa menghasut penganut agama berkenaan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar lima tahun lalu.

Permohonan untuk membatalkan saman pemula itu difailkan Abdul Hadi selaku defendan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid semalam.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Abdul Hadi berkata mahkamah menetapkan 19 April ini untuk keputusan permohonan tersebut.

“Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 11 Mac ini.

“Sekiranya terdapat hujahan lisan tambahan daripada kedua-dua pihak, ia juga akan dihujahkan pada tarikh sama (19 April),” katanya selepas pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir yang dijalankan melalui aplikasi dalam talian hari ini.

Abdul Hadi mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula difailkan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua atas alasan antaranya saman itu tiada kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Kedua-dua plaintif memfailkan saman pemula terhadap Abdul Hadi pada 9 Dis tahun lalu,.

Antara lain mereka memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Saman itu difailkan atas alasan Abdul Hadi mengeluarkan penyataan menghasut penganut atau mubaligh Kristian yang telah diterbitkan dalam sebuah akhbar pada 18 Jan 2016 dan kemudiannya dilaporkan oleh sebuah portal pada hari sama. – MK