Menteri Agama digesa respon isu Mokhtar Senik perguna nama malaikat

Menteri Agama digesa respon isu Mokhtar Senik perguna nama malaikat

Semoga YB Dr berada dalam keadaan sehat wal afiat di Kompleks Islam Putrajaya, dan diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas yang dipikulkan oleh TSMY kepada YB Dr.

Izinkan saya mulakan warkah ini dengan menukilkan kisah seorang penduduk Kufah yang bermusafir ke Madinah untuk bertanya “hukum darah nyamuk terkena dibaju ketika bersembahyang, apakah sembahyang tersebut batal atau tidak” kepada Imam Malik RH.

Imam terus bertanya kepada penyoal tersebut “kamu datang dari mana?”, “Dari Kufah” jawab penyoal tersebut. Kata Imam “Kamu sanggup bermusafir beratus mil semata-mata nak bertanya berkaitan darah nyamuk, sedangkan darah cucunda baginda ar Rasul, Saidina Al Husain yang ditumpahkan kamu tidak bertanya?”.

Demikianlah Imam Malik mengajar ummat supaya ‘berani’ dan ‘tahu’ bertanya tentang persoalan yang perlu diutamakan.

Saya ingin merakamkan ucapan Tahniah atas teguran pantas dari YB Dr tentang ‘lelucuan’ yang dibuat oleh orang ramai dengan mengunakan tongkat khutbah yang berwarna warni dan pelbagai. Ini menandakan YB Dr amat mengikut secara rapat perkembangan dunia maya dan perbahasannya. Syabas saya ucapkan.

Namun, kebelakangan ini ada pula ‘pandangan’ ganjil dan pelik yang dikeluarkan oleh seorang pemakai gelaran ‘ulama’, pandangan yang melibatkan malaikat dalam perpolitikan pemakai gelaran ulama yang bernama Mukhtar Senik itu telah tular di media sosial. Saya pasti YB Dr pun dah tahu dan baca pandangan itu.

Tapi, sayangnya masyarakat masih belum mendengar pandangan YB Dr selaku Menteri Agama yang dilantik oleh TSMY tentang dakwaan Mukhtar Senik tersebut. Mungkin YB Dr masih sibuk, namun pandangan YB Dr amat diharapkan supaya ‘kekeliruan’ itu dapat dihilangkan dari masyarakat. Mana tahu, mungkin dakwaan itu ada benarnya.

Semoga isu ‘dakwaan’ malaikat terlibat meraikan penubuhan Muafakat Nasional ini dipandang lebih tinggi dari isu tongkat khutbah raya. Kita tidak mahu tongkat khutbah dijadikan bahan lawak sebagaimana kita juga tidak mahu ‘keliru’ berkaitan penglibatan malaikat dalam perpolitikan di Malaysia hari ini.

Mungkin YB Dr rasakan bahawa ini adalah isu politik dan biarlah orang Politik yang jawab. Sebenarnya apabila YB Dr bersetuju untuk dilantik sebagai Menteri melalui permainan politik di luar Norma demokrasi, maka itu telah menjadi isyarat bahawa YB Dr bersedia untuk berada di gelanggang politik.

Semoga ada responnya, dan semoga kita semua diberikan kekuatan untuk ‘menzahirkan’ Al Haq – InsyaAllah.

RIDZWAN BIN ABU BAKAR
Rakyat Malaysia.

Sumber: