Menteri agama salur RM140 ribu duit Tabung Musa’adah di Sabah hari ini

Menteri agama salur RM140 ribu duit Tabung Musa’adah di Sabah hari ini

Sebanyak RM140,000 daripada Tabung Musa’adah Covid-19 akan disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik itu di Sandakan, Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu akan disalurkan bermula hari ini sehingga esok melibatkan golongan seperti B40, asnaf, nelayan dan golongan lain yang memerlukan tanpa mengira agama.

“Kita tidak tertumpu kepada yang di Semenanjung Malaysia sahaja. Kita juga telah pergi ke Sibu (Sarawak) dan hari ini di Sandakan pula.

“Kita akan melawat beberapa tempat di sini untuk menyampaikan bantuan dengan kerjasama pelbagai pihak atas keprihatinan kita terhadap golongan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) peringkat Sandakan hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Musa’adah kepada golongan asnaf dan mualaf seramai 100 orang di Anjung Pendidikan Mualaf di sini.

Katanya, golongan nelayan di Kampung Nunuyan Laut dekat sini akan turut menerima bantuan itu. – Bernama

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/101930/BERITA/Nasional/Tabung-Musaadah-RM140000-disalurkan-di-Sandakan