Menteri dari BN mahu PRU disegerakan, lebih kerap mesyuarat dengan Zahid selepas ini

Menteri dari BN mahu PRU disegerakan, lebih kerap mesyuarat dengan Zahid selepas ini

Semua 20 menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional berikrar mendukung pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun mahukan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Ketetapan itu diberikan mereka dua hari sebelum Dewan Rakyat mengadakan pengundian untuk Belanjawan 2021 yang memerlukan sokongan bulat Ahli Parlimen BN.

Dalam kenyataan bersama itu, semua menteri dan timbalan menteri BN turut mengumumkan mereka akan lebih kerap mendapatkan ‘panduan’ daripada pengerusi gabungan itu, Zahid Hamidi untuk memperkasakan kedudukan BN dalam kerajaan.

“Kami bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN dalam kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat dalam kerajaan,” kata mereka.

“Dalam hal ini, ahli Jemaah Menteri dari BN (akan) mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama pengerusi BN bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri,” tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun mereka menegaskan kestabilan kerajaan yang kukuh hanya dapat dibina dengan mengadakan PRU.

“Untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, kami berpendapat pilihan raya umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.”

Kenyataan menteri dan timbalan menteri berkenaan dikeluarkan berikutan pelbagai tanda tanya mengenai sokongan BN pada Belanjawan 2021, berlatarkan tuntutan dan ketidakpuasan hati parti komponen dan pemimpin gabungan itu terhadap bajet dan PPBM pimpinan Muhyiddin.

Kenyataan itu tidak menggariskan sokongan mereka terhadap Belanjawan 2021 secara jelas dan ambil maklum cadangan serta pandangan yang dikemukakan Ahli Parlimen BN.

“Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga bersetuju untuk terus mendukung pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sehingga keadaan mengizinkan untuk berpilihan raya.

Sebelum ini, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Najib Razak, mengumumkan sokongan Ahli Parlimen gabungan itu pada Belanjawan 2021 tertakluk kepada pindaan dibuat.

Syaratnya ialah kerajaan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP secara “one-off”, dan meluluskan moratorium automatik untuk bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan.

BN mempunyai 43 Ahli Parlimen dan sokongan mereka amat diperlukan perdana menteri untuk Belanjawan 2021 diluluskan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti 2 kerusi di Dewan Rakyat.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/24/menteri-bn-akan-lebih-kerap-minta-panduan-zahid/