Ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didapati masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah,
iaitu amalan dalam Al-Arqam yang telah diisytiharkan sesat sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa penafian oleh pihak luar yang mengatakan
ahli GISBH tidak mengamalkan ajaran sesat tersebut tidak dapat diterima.
“Kita hanya bercakap berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan.
Saya ingin mengesahkan bahawa siasatan polis setakat ini menunjukkan ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhammadiyah masih diamalkan oleh mereka yang ditangkap dan disoal siasat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(i) berhubung perkembangan dan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu GISBH.
Semalam, Khaulah Asaari, anak perempuan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad, menafikan dakwaan bahawa GISBH mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Khaulah menjelaskan bahawa ahli GISBH telah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam, yang telah difatwakan sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Saifuddin menegaskan bahawa tiada motif politik di sebalik tindakan kerajaan dalam mengendalikan kes GISBH. Menurutnya, isu yang dihadapi GISBH adalah berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak.
BACA: UAI tegur Cik Epal? Perjelas hukum bercinta dengan lelaki lain ketika masih dalam eddah