Menteri jumpa 500 penduduk kena denda atau tidak?, soal Zahid

Menteri jumpa 500 penduduk kena denda atau tidak?, soal Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menuding seorang menteri yang didakwanya hadir majlis penyampaian bantuan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menyoal ahli politik terbabit dia patut didenda.

Hal itu kerana, kata Ahmad Zahid, menteri terbabit dilihat melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya juga tertanya-tanya perlukah menteri ini dikenakan kompaun? Kelihatan mengingkari arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada hantaran di media sosial semalam.

Zahid tidak menamakan menteri terbabit tetapi menyebut ia adalah pertemuan berlangsung pada 7 Feb untuk menyampaikan sumbangan kepada 500 penduduk di Selangor.

“Bukan saja sumbangan, tetapi pemberian peruntukan RM30,000,” katanya.

Kebetulan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali pada 7 Feb berkongsi di Twitter dia menziarahi masyarakat Cina dan “mengagihkan bantuan kepada 500 keluarga yang memerlukan.”

Azmin pada ciapan itu juga memaklumkan dia telah meluluskan peruntukan RM30,000 kepada persatuan setempat supaya dapat menyediakan rawatan perubatan tradisional kepada masyarakat berkenaan.

Bagaimanapun, presiden Umno itu berkata kerajaan bertegas mengenai perhimpunan dan SOP penjarakan sosial.

“Ada menteri dilaporkan bertemu 500 penduduk di Hulu Langat. Pada perkiraan saya 500 orang itu sangat ramai jumlahnya.

“Saya tahu untuk sampaikan sumbangan. Terima kasih diucapkan,” katanya.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu juga menyoal jika menteri dikecualikan daripada peraturan tersebut.

“Cumanya rakyat kena online, sekolah kena online, bekerja kena online, tetapi sumbangan dana oleh menteri tidak boleh buat online?

“Selama ini kerajaan melarang aktiviti dalam perhimpunan ramai tetapi menteri boleh?

“Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mahu membantu menyah kuman atau sanitasi di kawasan-kawasan sekolah pun dihalang.

“Ini yang menjadi persoalan dalam kalangan rakyat. Saya memantau komen di Facebook ramai mengatakan ini ‘double standard’ (dua darjat),” katanya.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/562259