Menteri tak kuarantin : Tunggu greenlight peguam negara je lagi – PDRM

Menteri tak kuarantin : Tunggu greenlight peguam negara je lagi – PDRM

Polis masih menunggu lampu hijau dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata proses pendakwaan hanya akan dibuat selepas mendapat kebenaran AGC.

“Saya tiada maklumat baharu berkaitan kes itu. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC.

“Kita masih tunggu arahan susulan daripada pihak terbabit,” katanya pada BH, hari ini.

Sebelum ini, polis merakam keterangan Mohd Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh KKM sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731919/menteri-langgar-kuarantin-polis-tunggu-lampu-hijau