Menteri Tenaga dan Pengerusi TNB jangan lepas tangan isu kenaikan bil – Keadilan Perlis

Menteri Tenaga dan Pengerusi TNB jangan lepas tangan isu kenaikan bil – Keadilan Perlis

Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis yang telah mengadakan mesyuarat petang kelmarin, dan telah membincangkan beberapa isu termasuk mengambil beberapa ketetapan antaranya menuntut supaya Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kedua-duanya merupakan Ahli Parlimen Umno perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan jangan lepas tangan dengan meletakkan kesalahan kepada rakyat yang kononnya keliru dengan pengiraan bil elektrik TNB berikutan dengan rungutan dan tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan bil elektrik TNB sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini penting untuk ditangani segera kerajaan tambahan pula dalam keadaan semasa ekonomi negara yang suram sehingga ramai yang terpaksa berdepan dengan kehilangan pekerjaan dan terdapat kalangan rakyat yang mengalami kemerosotan pendapatan yang membimbangkan.

Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis juga telah memutuskan untuk segera memperkemaskan jentera pilihanraya Parti di setiap peringkat di negeri Perlis sebagai persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihanraya umum ke-15 secara mengejut.

Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis juga turut membincangkan tentang apa yang berkait dengan proses mengikut lunas undang-undang yang sedang berjalan sebagai suatu usaha demi mengembalikan semula mandat Rakyat ke tempat yang sepatutnya setelah ianya dicuri melalui pengkhianatan bagi menubuhkan sebuah kerajaan pintu belakang.

Pendirian Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis mengenai isu tersebut, di mana kami menyatakan sokongan penuh demi mengangkat agenda Reformasi dalam pentadbiran kerajaan dan dalam masa yang sama kepedulian terhadap Rakyat juga menjadi suatu keutamaan serta membina semula ekonomi negara yang semakin meruncing ke hadapan dengan adunan model baharu.

Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis dengan ini secara sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri yang diyakini mampu menjadi nakhoda bagi merealisasikan harapan besar tersebut melalui pelaksanaan urus tadbir yang baik di samping membersihkan negara daripada rasuah dan perbelanjaan yang melampau.

Sekian dimaklumkan.

Zamri Bin Sapar Pengarah Komunikasi
MPN KEADILAN Perlis

Sumber :