Buku menu ini kemudian ditemui bersama dengan album gambar milik ahli sejarah amatur Kanada
Menu makan malam kelas pertama dalam pelayaran sulung kapal Titanic telah terjual pada tanda harga AS$103,000 (RM485,130) dalam satu lelongan di United Kingdom.
Menu tersebut menawarkan hidangan tiram, daging lembu, dan itik mallard sebagai juadah pada 11 April 1912 dan kelihatan sudah lusuh ketika dilelongkan.
Memetik South China Morning Post (SCMP), menu tersebut berjaya dijual pada Sabtu lalu di rumah lelong Henry Aldridge & Son di Wiltshire, barat daya England.
Andrew Aldridge, wakil rumah lelong, menyatakan bahawa keadaan fizikal buku menu tersebut menunjukkan tanda-tanda terendam di dalam air sewaktu kapal tersebut mula karam.
“Sebahagian menu itu memaparkan tanda-tanda terendam dengan air. Namun ia berjaya dipadankan dengan bahagian belakang menu yang ditemui kemudian. Jelas, ini menunjukkan buku ini juga terendam dalam perairan Atlantik Utara pada 15 April tahun tersebut,” katanya.
Mereka percaya bahawa buku menu tersebut dibawa bersama oleh penumpang yang terselamat atau ditemui kemudian bersama mangsa-mangsa yang terkorban ketika itu. Ia dipercayai sebagai satu-satunya salinan menu makan malam kelas pertama pada 11 April yang masih wujud.
Buku menu ini kemudian ditemui bersama dengan album gambar milik ahli sejarah amatur Kanada, mendiang Len Stephenson.
Selain menu makan malam itu, barangan lain yang dijual termasuk jam tangan poket buatan Switzerland yang ditemui daripada penumpang, Sinai Kantor.
Ia dijual pada harga £97,000 (RM560,762), manakala selimut bercorak tartan dijual pada harga £96,000 (RM554,981).
Tragedi Kapal Titanic berlaku pada 14 April 1912, di mana kapal tersebut karam bersama lebih 1,500 penumpang dan anak kapal selepas melanggar bongkah ais pada kelajuan 21 knot.
Kapten kapal, Kapten Smith, mengarahkan operator radio Phillips untuk menghantar mesej bantuan pada pukul 12.05 tengah malam.
Pada 2.20 pagi, iaitu 2 jam 40 minit selepas insiden, kapal tersebut tenggelam ke dasar lautan Atlantik Utara sedalam 8000 meter.
Daripada 2,224 penumpang, hanya 710 penumpang yang dilaporkan terselamat.