Masjid sering dikaitkan sebagai satu rumah ibadah yang hanya terhad kepada urusan keagamaan sahaja.
Namun, sebenarnya masjid tidak terhad kepada bidang dakwah malah ia meliputi perdagangan, perundangan, penyebaran ilmu, serta pelbagai lagi.
Baru-baru ini seorang TikTokers, @tomfitree berkongsi pengalaman beliau melawat Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang terletak di Sungai Petani, Kedah.
Di dalam video itu Tom menunjukkan beberapa fasiliti yang ada di dalam masjid. Antaranya seperti taman permainan kanak-kanak yang mempunyai gelongsor bertingkat di kawasan tertutup bagi mengurangkan bunyi bising kanak-kanak bermain. Namun ibu bapa masih boleh memantau anak-anak mereka bermain.
Manakala bahagian bawah masjid pula, terdapat 20 kapsul hotel dan bilik keluarga percuma yang boleh dikunjungi semua orang, termasuk musafir yang ingin berehat sebelum meneruskan perjalanan.
Di dalam bilik kapsul itu mempunyai katil dua tingkat, setiap satu ruangan kapsul lengkap dengan tilam, bantal, selimut, soket pengecas, lampu dan tirai penutup.
Perkongsian TikTok @tomfitree telah meraih pelbagai reaksi netizen yang kagum melihat bagaimana masjid tersebut dapat berfungsi daripada pelbagai aspek.
Netizen juga berharap akan ada lebih banyak masjid-masjid lebih terbuka kepada orang ramai dan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden.
Allahu kita perlukan lebih banyak masjid macamni 🤩 pic.twitter.com/xU63arGE5p
— Faiz Fayeshz 🇲🇾 (@faizfayeshz) September 4, 2023
Masjid MADAD ini merupakan impian pendakwah bebas, Allahyarham Mohd Murtadha Mohd Yusof untuk membangunkan pusat dakwah di kampung tempatnya membesar, iaitu di Sungai Petani, Kedah.
Kini, legasi tersebut diteruskan oleh adiknya yang juga pendakwah bebas dan dikenali sebagai Ustaz Saham, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.
pernah pergi MADAD ni waktu bulan puasa,setiap hari ada makanan percuma untuk berbuka,waktu solat terawih,dorg sediakan mainan untuk anak-anak & ada orang yg jaga budak bermain (waktu ni playground dalam masjid tu tak siap lagi)..dalam masjid sgt selesa,ibu bapa pun tak risau… https://t.co/0POGj4zqMb pic.twitter.com/NNlfncAbBh
— eL & gebushop🧖🏻♀️ #Buttercream🥐 (@eLjerla) September 6, 2023
Antara fasiliti-fasiliti lain yang turut disediakan kepada orang ramai seperti pusat tahfiz integrasi, rumah warga emas, bilik e-sports, serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah.
Menurut Ustaz Yaakub Yusra, tujuan pihaknya tidak menutup masjid dan beroperasi 24 jam adalah untuk meraikan sirah Nabi Muhammad SAW yang membina Masjid Nabawi sebagai pusat sehenti bagi golongan miskin, anak yatim piatu serta musafir.
Masjid Al Busyro mencetus revolusi baru dalam kepelbagaian fungsi masjid di Malaysia. https://t.co/InpUCPx3UK
— Jalal Misai (@jllmisai) September 5, 2023
Dalam satu video yang lain pula, @tomfitree berkongsi pengalamannya melawat Taman Kucing MADAD yang menempatkan pelbagai jenis kucing untuk orang ramai bermesra dengannya. Taman itu dibuka setiap hari dan ianya percuma.