“Missing Link” kerana kerajaan Pas tak ikut kaedah jentera kerajaan

Pertama-tama suka saya nyatakan bukanlah hasrat saya untuk berpolimik dengan YAB Dato’ Seri MB yang saya hormati, saya dan rakan-rakan ADUN BN terbuka untuk berunding dengan ketua kerajaan sekiranya terdapat isu berkait rakyat dalam kawasan.

Dalam zaman IT ini kedua-kedua belah pihak telah menggunakan social media dalam menyampaikan info-info yang perlu masyarakat umum tahu walaupun Ketua Penerangan Pas Terengganu mendakwa saya tidak mempunyai akaun FB.

Suka hari ini saya menyentuh tentang jentera pentadbiran negeri. Dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri, MPKK ada lah jentera kerajaan peringkat akar umbi yang bertanggungjawab kepada Penghulu Mukim. Institusi Penghulu merupakan pengantara antara MPKK dengan Pejabat Daerah.

Penghulu Mukim pula bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah dan Pegawai Derah adalah bertanggungjawab kepada YB Setiausaha Kerajaan. YB SUK pula bertanggungjawab kepada YAB Menteri Besar.

Dari segi peruntukkan kewangan, kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukkan kepada pejabat daerah bagi perbelanjaan peringkat daerah samada oleh MPKK, ADUN dan mana yang berkenaan. Setelah perbelanjaan dibuat, tuntutan akan dikemukakan kepada Pegawai Daerah untuk proses bayaran sebagaimana yang diperuntukkan dalam Arahan Perbendaharaan yang diwujudkan bawah Akta Acara Kewangan.

Kenyataan YAB Dato’ Seri MB dalam fb page beliau hari ini yang menarik perhatian saya ialah “ terdapat ‘missing link’ pada waktu ini antara ADUN BN dengan MPKK, kerana model jawatankuasa komuniti kampung yang sedia ada pada waktu ini adalah model yang dibina sebelum pembentukan muafakat politik berlaku.”

Suka saya menarik perhatian bahawa jentera pentadbiran kerajaan tidak berubah walaupun parti yang membentuk kerajaan berubah setelah berlaku pilihanraya atau pun perubahan gabungan parti-parti membentuk kerajaan membentuk kerajaan yang baru.

“Missing link” berlaku kerana kerajaan tidak mengikut kaedah jentera kerajaan apabila institusi MPKK telah diputuskan rantaiannya oleh kerajaan Pas dari institusi penghulu dan diletak bawah pusat khidmat Dun Pas yang diketuai oleh pegawai penyelaras Dun bagi Dun yang dikuasa ADUN UMNO, manakala di Dun yang dikuasai PAS, pusat khidmat dibawah ADUN Pas yang berkenaan.

Pusat khidmat DUN bukanlah sebuah institusi kerajaan dalam jentera pentadbiran, ia lebih merupakan kepada jentera parti dan tidak terdapat dalam hierarki jentera pentadbiran kerajaan.

Sumber :