Misteri barang pos berbalut seluar dalam, semua tak mengaku buat

Misteri barang pos berbalut seluar dalam, semua tak mengaku buat

Semalam tular isu seorang wanita di Melaka menerima alat tulis yang dipesannya dalam talian disarung dengan seluar dalam.

Ia mencuri perhatian orang ramai kerana kebetulan dikongsi selepas tular video cara pengendalian barangan melibatkan syarikat penghantaran popular J&T Express Malaysia J&T Express Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih belum jelas bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Pembeli Ayunormaslinda Abu Hassan ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan bahawa dakwaannya itu sahih dan bukan direka-reka.

Pengantar dan penjualnya juga menafikan membuat kerja ‘nakal’ itu.

Ayunormaslinda semalam berkongsi gambar pesanannya – empat bekas pensil kanak- kanak – yang dipek dalam kotak tetapi bersarung seluar dalam wanita berwarna merah jambu.

“Hari ini barang yang suami order (pesan) sampai dengan kotak dibalutkan menggunakan seluar dalam ini. Sangat melampau,” tulisnya di Facebook yang mahu J&T menyelesaikan perkara itu.

Wanita 32 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Ayu juga menjelaskan di Facebook Live bahawa pekerja J&T yang menghantar bungkusan tersebut juga tidak tahu apa yang berlaku.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ayu bagaimanapun berkata pihak J&T Melaka sudah menghubunginya untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Saya dah buat aduan tersebut di J&T. Mereka ada mohon maaf kepada saya.

“Saya juga harap mereka dapat naikkan memo minta maaf atas perkara ini kerana menyebabkan kekejaman kepada saya dan juga bisnes saya.

“Selama lima tahun saya sebagai seller (penjual) memang menggunakan J&T ini, tapi bila terjadi begini saya anggap tidak wajar berlaku pada saya,” katanya yang juga seorang usahawan.

Ayu juga berkata dia telah merujuk dengan penjual yang menafikan perkara itu dilakukan mereka.

“Ya, saya dah tanyakan seller, mereka telah memberitahu mereka hantar dalam keadaan baik,” katanya.

Bagaimanapun, perkongsian Ayu itu menyebabkan dia ditimpa masalah baru.

Terdapat warga maya tampil mendakwa dia sengaja mereka-reka cerita, menyebabkan dia tampil membuat laporan polis.

Laporan itu dibuat di balai polis Melaka Tengah petang semalam.

“Anda semua telah buat ancaman yang tidak wajar sama sekali. Saya rasa kalau ia berlaku kepada awak, semua akan buat perkara yang sama saya buat.

“Mana mungkin barang yang kita dapat dalam keadaan macam itu kita tak marah?” soalnya.

Sementara itu, peniaga alat tulis itu yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa tidak masuk akal perkara tersebut dilakukan pihaknya.

“Kami hantar dari Ipoh, Perak. Kalau hantar bungkusan seperti itu, anda rasa J&T mahu terima? Bungkusan itu akan dihantar melalui banyak pusat pengagihan sebelum sampai kepada penerima.

“Kami terkejut dan sedih kerana ada yang tuduh kami yang bertanggungjawab. Apa yang penting sekarang ini, dapatkan orang yang cipta masalah ini,” katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap J&T Melaka ketika dihubungi Malaysiakini berkata siasatan awal mendapati ia bukan dilakukan pihak mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka memohon maaf atas kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

“Kami sudah berjumpa dengan Puan Ayu semalam dan kami sudah mohon maaf. Kes masih lagi disiasat.

“Kami tak balut bungkusan tersebut dengan seluar dalam. Sebagai satu dispatcher, tak mungkin kami balut bungkusan itu dengan seluar dalam.

“Kami (di sini) memang terima bungkusan dalam keadaan sebegitu,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562386