‘Move on lah, awak tak dapat jadi PM’, KJ tegur Muhyiddin

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin, mengulas isu ucapan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin,

yang didakwa mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

“Dalam hal ini, adalah lebih wajar dan sesuai sekiranya Tan Sri Muhyiddin memohon maaf.

“Saya faham apa yang dia maksudkan – ‘saya mempunyai jumlah sokongan tetapi entah atas sebab apa, dia tidak diminta untuk membentuk kerajaan’.

“Tetapi cara penyampaian itu, pada pandangan saya, dalam video tersebut seolah-olah dia mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong,

'Move on lah, awak tak dapat jadi PM', KJ tegur Muhyiddin

dan dalam hal ini, kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri.

“Itu adalah kuasa mutlak dalam perlembagaan, jadi kamu tidak boleh menyoal kenapa, bagaimana, dan sebagainya,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama seorang lagi bekas ahli Umno, Shahril Hamdan.

Khairy juga menyatakan bahawa Muhyiddin tidak wajar menyentuh isu tersebut memandangkan prinsip Raja Berperlembagaan.

“Dia mengungkit perkara yang sememangnya kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Move on lah, perkara itu sudah berlaku. Cerita dua tahun lalu. Awak tidak menjadi perdana menteri.

“Kenapa perlu menjadikannya bahan ceramah politik?” tambahnya.

Muhyiddin dijadual memberikan keterangan kepada polis di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kuala Lumpur, pada jam 11 pagi esok.

Siasatan ini dijalankan susulan 30 laporan polis, termasuk oleh istana Pahang, terhadapnya kerana didakwa mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam melantik perdana menteri.

Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa Agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun mempunyai sokongan yang mencukupi daripada anggota parlimen.

Kenyataan tersebut turut menyebabkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, murka atas tindakan yang dianggap “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Agong.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan bahawa kenyataannya di Nenggiri, Kelantan itu tidak bertujuan untuk menghina institusi raja, tetapi hanya menyatakan “fakta”.

BACA: Billionaire Jepun bina trek lumba peribadi depan rumah