MP Amanah pertikai bajet perjalanan ke luar negara ditambah

MP Amanah pertikai bajet perjalanan ke luar negara ditambah

Dua penggubal undang-undang pembangkang menyoal mengapa peruntukan Belanjawan 2021 bagi perjalanan ke luar negeri untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar dinaikkan di tengah-tengah sekatan perjalanan dalam wabak Covid-19.

Menurut anggaran perbelanjaan persekutuan kerajaan bagi tahun depan, wang pembayar cukai berjumlah RM450,000 diperuntukkan dalam kategori “bertugas ke luar negara” untuk “program khusus” yang tidak ditentukan oleh kementerian.

Ia peningkatan lebih RM50,000 berbanding peruntukan untuk tahun ini.

Malaysia menutup sempadan antarabangsanya pada Mac 2020 dan masih belum membenarkan warganya melakukan perjalanan ke luar negara.

Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) bertanyakan mengenai kenaikan bajet itu ketika perbahasan pada peringkat jawatankuasa tengah hari tadi.

“Dalam keadaan kita Covid-19 ini saya tak nampak ada lawatan ke luar negara.

“Kenapa peruntukan itu bertambah berbanding dengan tahun lepas,” soalnya.

Kemudian, rakan MP Amanah itu, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) turut membangkitkan persoalan yang sama berhubung peruntukan itu.

“Jadi saya minta penjelasan adakah perbincangan melalui maya ni pun dikirakan naik kapal terbang?

“[…] sedangkan saya fikir tak sewajarnya ini boleh berlaku

“Jadi saya mohon penjelasan apa yang disebut oleh rakan saya dari Hulu Langat,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad ketika ucapan menggulung perbahasannya tidak menjawab soalan-soalan daripada Hasanuddin dan Mahfuz itu.

Bagaimanapun, dia berjanji untuk memberikan jawapan tambahan secara tertulis kepada anggota parlimen yang turut serta dalam membahaskan peruntukan kementerian itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553458