Muafakat membawa berkat, penduduk PPR sepakat ubah suasana flat persis kondominium

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) sering kali digambarkan dengan imej yang kotor,

Disebabkan oleh tanggapan bahawa penduduknya tidak bersikap bersivik dan enggan menjaga kebersihan kawasan sekitar.

Namun, tidak semua penduduk PPR memiliki sikap sedemikian, seperti yang ditunjukkan melalui tularnya beberapa

gambar transformasi kawasan perumahan PPR yang cantik dan selesa menerusi akaun TikTok @HanakimieOfficial.

Khususnya, penduduk PPR Lembah Subang di tingkat 10 telah bersepakat dan komited untuk mengubah rupa kawasan luar rumah mereka menjadi lebih kondusif untuk kegunaan umum.

Muafakat membawa berkat, penduduk PPR sepakat ubah suasana flat persis kondominium

Dahulu yang tampak seperti rumah hantu, kini kejiranan di tingkat tersebut boleh berbangga dengan hasil usaha mereka yang membuahkan hasil, sehingga kelihatan seperti kondominium mewah.

Antara perubahan yang dilakukan termasuk mengecat dinding, menambah dekorasi menarik, mengganti lantai mozek, dan menghias dinding dengan cermin unik.

Menariknya, semua ini dilakukan atas inisiatif penduduk itu sendiri, dengan saling bergotong-royong untuk menjayakan misi transformasi kawasan luar unit mereka.

Dari gambar yang dikongsi, kita dapat membayangkan betapa kondusif dan selesanya suasana untuk tetamu atau rider yang berkunjung ke tingkat tersebut.

Transformasi ini telah mengubah wajah keseluruhan tingkat tersebut, yang kini tampak lebih baru dan segar.

Melalui ruangan komen, majoriti netizen memuji penduduk PPR di tingkat berkenaan yang bersatu hati dalam menceriakan kawasan perumahan mereka dengan inisiatif sendiri.

Malah, netizen juga bersetuju bahawa usaha murni ini sememangnya layak dijadikan contoh teladan yang baik dan harus diikuti oleh semua orang tanpa mengira bangsa dan agama di kawasan perumahan masing-masing.

BACA: ‘Kalau ketagih sangat..’ MKT Umno cabar PN bubar DUN Kelantan dulu