Muafakat Nasional bukan gabungan parti berasaskan Melayu – Annuar

Muafakat Nasional bukan gabungan parti berasaskan Melayu – Annuar

Muafakat Nasional (MN) akan menjemput parti berbilang kaum menyertai pakatan kerjasama di antara UMNO dan PAS itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Annuar Musa, berkata perkara itu adalah langkah seterusnya selepas MN secara prinsip bersetuju menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bersama dalam gabungan berkenaan.

“Ketika ini, MN hanya sedang meneliti beberapa perkara seperti keperluan meminda piagam dan mengadakan perjanjian persefahaman bagi membolehkan BERSATU menyertai gabungan itu secara rasmi.

“Langkah seterusnya adalah MN akan menjemput parti berbilang kaum untuk menyertai gabungan ini kerana MN bukan gabungan parti berasaskan Melayu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata walaupun MN dianggotai UMNO, PAS dan BERSATU, gabungan itu membawa prinsip kepelbagaian kaum berteraskan semangat dan konsep pelbagai kaum.

“Sudah tentu (MN ketika ini) diketuai UMNO, PAS dan BERSATU, tapi semangat dan konsepnya adalah pelbagai kaum, seperti yang kita bangunkan negara ini. MN bukan Taliban,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Taliban mula bermaharajalela di Kabul, Afghanistan pada 1996 dan turut melaksanakan undang-undang ekstrem termasuk melarang wanita bekerja, menutup sekolah kanak-kanak perempuan dan tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan di negara itu.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/08/721750/muafakat-nasional-bukan-taliban